Kembalikan GST, elak harga barang naik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Jelas beliau, pengembalian GST adalah bertujuan mengelakkan kenaikan harga barang akibat sistem percukaian yang tidak cekap.

“Untuk mengelakkan kenaikan harga barang akibat sistem percukaian yang tidak cekap, saya bersetuju dengan pandangan beberapa rakan bahawa GST perlu dikembalikan.

“Biar atas apa nama sekali pun, kerana ia terbukti, bahawa sistem percukaian tersebut lebih telus dan sekali gus dapat mengimbangi fiskal kerajaan melalui kutipan hasil,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja pada Khamis.

Beliau menyarankan agar dasar percukaian perlu dilihat kembali.

“Pada tahun ini sahaja beberapa cukai baharu diperkenalkan dan cukai sedia ada dinaikkan sehingga menurunkan kuasa beli rakyat dan seterusnya memberi impak kepada kitaran penjanaan pengganda ekonomi dan pulangan pelaburan.

“Saya yakin dengan dasar percukaian hari ini ditambah dengan kelemahan ringgit akan terus meningkatkan kos sara hidup rakyat kerana kebergantungan tinggi negara kepada bahan mentah dan makanan yang diimport,” katanya.

Menurut beliau, baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.7 peratus pada 2023, dipacu oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh yang terus pulih.

Katanya, meskipun pertumbuhan tersebut tidak mencapai sasaran empat hingga lima peratus seperti yang ditetapkan berikutan persekitaran luaran yang mencabar.

“Namun dalam masa yang sama, kita harus akui bahawa faktor dalaman juga menyebabkan ekonomi negara tidak menunjukkan prestasi yang baik termasuk kejatuhan nilai ringgit.

“Sebagai contoh, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE mendedahkan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat (AS) secara empirikal tidak mempengaruhi pergerakan nilai ringgit di pasaran antarbangsa.

“Kajian Pusat tersebut juga mendapati bahawa tahap daya saing serta kepelbagaian ekonomi, kadar inflasi, pelaburan, harga minyak, pembangunan kewangan, produktiviti (termasuk teknologi), percukaian, mempengaruhi kedudukan ringgit dan eksport,” katanya.

Oleh itu Ismail Sabri berkata, negara memerlukan satu strategi yang jelas untuk jangka sederhana dan jangka panjang untuk kestabilan
ekonomi daripada kekejutan persekitaran luaran.

“Hal ini kerana pelabur mahukan situasi di mana mereka boleh menjangka masa depan di negara ini.

“Keadaan yang samar-samar menyukarkan mereka untuk membuat keputusan,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sesi persekolahan akan dibuka, begitu juga dengan sambutan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma pastinya memberi impak berganda kepada rakyat.

“Harga barang dijangka melambung tinggi.

“Hari ini, satu perkara yang pelik berlaku. Beras tempatan hilang dari pasaran sedangkan negara mengeluarkan sebanyak 62 peratus makanan ruji ini. Tidak sampai 30 peratus diimport.

“Pastinya ia melibatkan kartel yang mengawal pasaran beras tempatan negara. Saya difahamkan banyak beras tempatan hanya ditukar
kampit sahaja kepada import. Mereka membuat keuntungan yang tinggi. Kedua, beras tempatan dicampur dengan beras tempatan dan dijual dengan beras import,” katanya.

Justeru kata beliau, kartel harus dihapuskan segera seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia untuk mengekang kartel ayam.

“Semasa pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan oleh saya pada 31 Januari 2022 telah mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan siasatan terhadap kartel-kartel yang menguasai pasaran ayam.

“Pada 22 Disember 2023, MyCC mengenakan denda sebanyak RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk “kartel makanan ayam” untuk menetapkan harga.

“Inilah golongan rakus yang mengambil keuntungan dengan menindas golongan yang memerlukan.

“Bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung rakyat, saya mencadangkan kerajaan melakukan penilaian ke atas bantuan sedia ada bagi memastikan kestabilan hidup mereka lebih terkesan,” syor beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat