KUALA LUMPUR- Amir Nashrin Johari dilantik sebagai pengarah eksekutif CI Holdings Bhd, dan pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif KUB Malaysia Bhd, berkuat kuasa mulai Rabu.
Amir, 30, adalah anak kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
DagangNews melaporkan, Johari, melalui syarikat pelaburannya JAG Capital Holdings Sdn Bhd, memegang kepentingan sebanyak 32.96 peratus dalam CI Holdings dan 33.28 peratus dalam KUB, menurut pemfailan bursa oleh dua syarikat tersenarai itu.
Amir juga merupakan pengarah JAG dan beberapa syarikat lain, termasuk Central Cables Bhd (pegangan 86.65 pertaus di mana JAG bakal menyuntik dana ke dalam KUB), Continental Resources Sdn Bhd dan Palmtop Vegeoil Products Sdn Bhd.
Johari pada Disember tahun lepas melepaskan jawatan pengerusinya di KUB dan CI Holdings, berikutan pelantikannya dalam Kabinet.
Amir, yang memiliki ijazah dalam perakaunan dan kewangan dari Oxford Brookes University, sebelum ini pernah bekerja di jabatan jaminan kewangan EY Malaysia dan KPMG Malaysia dari 2014 hingga 2017.
“Beliau telah menghabiskan sembilan tahun lalu dalam pelbagai peranan pengurusan dan eksekutif dalam industri dan syarikat yang berbeza, termasuk audit dan perundingan pengurusan, pelbagai syarikat permulaan berasaskan teknologi, syarikat pelaburan swasta, dan syarikat pengeluar kabel awam di Melaka.
“Peranan beliau meliputi kewangan korporat, pengurusan strategi, pengurusan aset, kawalan kredit, pembangunan perniagaan, perakaunan, perbendaharaan dan sistem maklumat,” kata CI Holdings dan KUB dalam makluman masing-masing di Bursa Malaysia.
Saham CI Holdings turun empat sen atau 1.43% pada RM2.75 pada Rabu, menilai kumpulan itu pada RM445.5 juta.
Saham telah jatuh 26.67 peratus dalam tempoh setahun yang lalu.
Sementara itu, KUB turun setengah sen atau 0.83 peratus kepada 59.5 sen, dengan permodalan pasaran RM331.1 juta.
Saham telah mendapat 16.67 peratus dalam tempoh setahun yang lalu.