KUALA LUMPUR- Kad Perakuan Media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bukan lesen untuk menjadi wartawan.
Sebaliknya adalah medium pemudah cara bagi pengamal media untuk membuat liputan terutama membabitkan program rasmi kerajaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ini kerana bidang kewartawanan bukan seperti bidang perundangan yang mempunyai Majlis Peguam, akauntan mempunyai Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun, arkitek melalui Lembaga Arkitek dan doktor ada persijilan sendiri.
“Kad Perakuan Media JaPen diberi khusus untuk memudah cara wartawan hadir dan mengikuti acara rasmi kerajaan…jadi jika majlis korporat, komunikasi korporat mereka akan membuat jemputan media dan mereka mengharapkan media yang dijemput hadir tetapi terpulang kepada mereka untuk membenarkan mereka masuk atau tidak,” katanya selepas lawatan ke Penang House of Music di Komtar, Pulau Pinang pada Khamis.
Beliau berkata, isu berkenaan Kad Perakuan Media JaPen dibangkitkan oleh kelab pewarta asing iaitu rakyat Malaysia yang bertugas dengan agensi media antarabangsa mendakwa mereka diberi tempoh yang singkat sebagai pemegang kad.
“Selain itu, beberapa pihak juga mempersoalkan had yang lebih pendek untuk wartawan media dalam talian dan terdapat dakwaan sesetengah pihak yang menyalahgunakan kad-kad perakuan media ini.
“Untuk kesemua isu ini, saya telah meminta pihak JaPen meneliti dan pengumuman akan dibuat oleh JaPen dalam tempoh masa terdekat mengenai semua isu yang dibangkitkan,”lapor Bernama.
Kata Fahmi lagi, JaPen sedang mengemas kini dan menyelaras kembali tempoh sah laku Kad Perakuan Media untuk semua organisasi mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP).