BATU PAHAT – Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh hari ini dalam sidang media tersasul menyebut Dr Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar Johor mewakili Pakatan Harapan (PH).

“Terima kasih Dr Maszlee Malik calon bagi menteri besar, eh bukan menteri besar (tapi) calon bagi DUN Layang-layang,” sambil disambut ketawa Maszlee.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata demikian pada sidang media memperkenalkan calon-calon PKR bagi Zon Utara di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, tidak pasti niat beliau mengumumkan itu secara sengaja atau tidak.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan PKR konsisten untuk tidak meniru strategi politik Barisan Nasional (BN) yang ‘menjual’ poster boy calon Menteri Besar Johor sebaliknya terus berkempen dengan menawarkan calon yang efektif berkhidmat rakyat.

Beliau bahkan mengakui pengalaman kecundang di beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) membuatkan parti itu ‘post-mortem’ dan belajar daripada kesilapan.

Pun begitu beliau menegaskan, penyertaan PKR dan PH dalam PRN Johor bukan sekadar untuk menjadi pembangkang yang kuat di DUN tetapi menubuhkan kerajaan negeri.

“PKR bertanding 20 kerusi bersama dengan rakan sekutu kami meletakkan 56 kerusi dan tujuan masuk pilihan raya adalah untuk menubuhkan kerajaan bermaksud kerajaan itu akan dipimpin oleh seorang Menteri Besar.

“Buat masa ini fokus kami ialah menawarkan calon- calon terbaik kami kepada rakyat dan setelah itu apabila rakyat memberikan mandat dan keyakinan baru kita pilih menteri besar.

“Biar dasar lawan dasar, bukan calon lawan calon bukan soal meletakkan seorang calon menteri besar untuk dibandingkan dengan calon menteri besar.

“Ia mesti polisi lawan polisi, khidmat lawan khidmat. Fokus bela rakyat. Parti yang bertanding itu biar rakyat Johor menilai dari aspek itu,” kata Saifuddin pada sidang media memperkenalkan calon-calon PKR bagi Zon Utara di sini pada Isnin.

Kata Saifuddin lagi, soal calon menteri besar bukanlah segala-galanya dalam pilihan raya.

“Memang satu juzuk daripadanya ialah meletakkan calon menteri besar tapi itu bukan yang kita anggap sebagai segala-galanya.

“Bercakap soal menteri besar hari- hari di PRN Johor, menteri besar, menteri besar. Khidmat kepada rakyat siapa nak nilai? Jadi ini pendekatan yang kami ambil sekarang,”ujarnya.

Walau bagaimanapun Saifuddin berkata, calon Menteri Besar Johor bukan keutamaan sekarang.

“Saya tidak sebut faktor wow atau tidak. Saya kata keutamaan sekarang ialah memberikan pengenalan yang efektif kepada rakyat tentang calon yang kami tawarkan kepada rakyat itu keutamaan kami. Faktor wow atau tidak itu ‘wisdom’ kepada rakyat Johor.

“Jadi buat masa sekarang jalur kempen kami tidak terkalih hanya kerana BN telah menampilkan calonnya sebagai poster boy.

“Dia pun cabar pula Perikatan Nasional (PN) mana ‘poster boy’ kamu? Dah bergaduh kat situ. Itu tak produktif sama sekali,” kata Saifuddin lagi.

Untuk rekod, BN telah mengemukakan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebagai poster boy sekali gus bakal dilantik Menteri Besar Johor sekiranya BN menang PRN Johor pada 12 Mac.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob