KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Na’im Mokhtar disaran supaya ‘direhatkan’ kerana didakwa jumud dan ekstrem.
Saranan keras itu disuarakan seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
Beliau mengkritik Na’im berhubung pelbagai kontroversi, termasuk isu logo halal dan cadangan garis panduan acara antara agama, dengan menyifatkan dia gagal sepenuhnya.
“Serahkan Timbalan Menteri Agama (Zulkifli Hasan) uruskan. Rehatkan menteri agama atau rehatkan selamanya pun lagi baik. Beban sangat dah dia tu.
“Ini bukan kali pertama, menteri agama buat masalah dan lajak dari laju. Isu logo halal dulu yang tengah masih dibincangkan pun dia umum sebelum dimuktamadkan.
“Jawapan Parlimen menteri ini dilaporkan sebagai ‘disyaratkan’ dan kini, dia kata masih berbincang. Menteri agama ni sangat gagal,” katanya di X.
Abu Hafiz turut membangkitkan penyokong Kerajaan Madani selama ini cukup menentang idea ekstrem daripada pemimpin Pas.
“Tapi, selama mana Pas jadi menteri agama, mereka tidaklah sejumud dan ekstrem macam menteri agama yang ada di Putrajaya sekarang ini.
“Sangat berbeza dengan faham kenegaraan perdana menteri,” katanya yang mempunyai kepakaran dalam kajian al-Quran dan ilmu Hadis, serta sistem politik Islam.
Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Selasa, Na’im berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan garis panduan baru, termasuk keperluan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa agama jika sesuatu majlis melibatkan umat Islam, serta larangan unsur yang boleh menyinggung sensitiviti Muslim.
Namun, selepas mendapat kecaman pelbagai pihak, Na’im berkata garis panduan itu masih dalam kajian.
Mengulas lanjut dalam ciapan terbarunya, Abu Hafiz memberitahu, beliau bukannya mengkritik Menteri Agama tanpa asas dan tidak berusaha untuk berbincang.
Namun, mesej pelawaannya untuk bertemu Na’im tidak disambut.
Katanya ada beberapa perkara berbangkit perlu dibincang termasuk Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah, GISB dan beberapa isu lain lagi.