RAUB: Kerajaan negeri Pahang bersetuju membuat pembayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan setengah dengan minima RM2,000 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam Negeri Pahang pada 20 Februari ini.
Menurut Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, jumlah keseluruhan peruntukan bagi Bantuan Khas Kewangan ini ialah RM39.6 juta.
Beliau berharap berharap dengan pembayaran Bantuan Khas Kewangan ini, penjawat awam Negeri Pahang dapat mempertingkatkan keupayaan diri terutamanya dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan pengurusan Kerajaan Negeri akan menjadi lebih dinamik, mampan dan berdaya saing.
“Seperti mana yang telah diumumkan pada Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2024 pada 4 Disember 2023 yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan setengah dengan minima RM2,000 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam Negeri Pahang,
“Untuk itu, sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada hari ini telah bersetuju agar pembayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan dikreditkan ke akaun penerima secara one-off pada 20 Februari 2024 iaitu pada hari Selasa.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi Bantuan Khas Kewangan ini ialah RM39.6 juta,” katanya menerusi kenyataan media, pada Rabu.-SUARATV