Sedekah PAS Tak Bermusim Kata Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Tuduhan yang mengatakan PAS merasuah pengundi ketika pilihan raya adalah terlalu kecil bagi menghadapi orang yang bersedekah.

Berbanding bantuan parti mereka itu yang diberikan secara bermusim atau bertujuan untuk mencapai matlamat politiknya sahaja, laksana ayam yang bertelur sebiji, namun berkokok riuh sekampung,” kata Presiden PAS.

Tan Sri Abdul Hadi Awang malah menyatakan, banyak parti yang pernah bekerjasama atau yang sedang bekerjasama dengan PAS menyaksikan betapa hebatnya pengorbanan jentera PAS yang tidak bermusim dan bertempat tanpa meminta upah daripada manusia.

“Inilah hasil tarbiah yang tidak memisahkan urusan dunia daripada urusan agama yang berwawasan akhirat.

Perkara ini hanya boleh didapati dalam Islam, tetapi tidak terdapat dalam ideologi ciptaan manusia,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.

Ahli Parlimen Marang itu malah menyatakan, istilah kebajikan ditafsirkan dengan makna yang menyeluruh dan luas dalam aspek yang banyak, serta berprinsipkan Rukun Iman supaya amalan itu diterima oleh Allah SWT.

Kata beliau, kebajikan bukan sahaja merangkumi aspek berkhidmat kepada masyarakat, dan hanya bersedekah wang dan barangan sahaja.

“Maksud sedekah pula, bukan sahaja bersifat harta dan barangan, bahkan termasuk juga sedekah dari sudut ilmu, khidmat tenaga dan nasihat yang baik sama ada dengan lisan atau tulisan.

“Ahli-ahli PAS menghayatinya dalam semua lapangan sejak peringkat awal sebelum dan selepas penubuhan PAS lagi. Penglibatan mereka bukan hanya dalam politik dan ketika musim pilihan raya, bukan secara terpilih mahupun bermusim,” ujar Hadi.

Tambah beliau lagi, pada peringkat awal sebelum penubuhannya dan selepas penubuhannya, para ulamak PAS berkhidmat menyebarkan ilmu kepada masyarakat secara percuma, membuka pondok dan sekolah rakyat, serta mengajar di masjid dan surau.

“Terdapat dalam kalangan mereka itu mempunyai taraf ilmu dan pengajian yang sebanding dengan mufti, pensyarah di pusat pengajian tinggi dan pegawai agama di semua peringkat. Malah, ada juga daripada kalangan profesional yang berpendidikan Barat, tetap mempertahankan identiti Islam mereka dan juga kalangan yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, namun tidak meninggalkan khidmat percuma kepada masyarakat.

“Begitu juga wakil rakyat PAS sejak dari tahun 1955 lagi, sama ada sebelum merdeka dan selepas merdeka tetap memberikan khidmat kepada rakyat, walaupun mereka dipulau oleh kerajaan yang menindas pembangkang.

“Bahkan, terdapat dalam kalangan wakil rakyat PAS yang mengadu mempunyai banyak hutang kerana khidmatnya kepada masyarakat tanpa memilih siapa pun yang hendak diberikan bantuan. Termasuklah membantu mereka yang berada di luar kawasan yang diwakilinya,” katanya.

Jelas Hadi, hutang-hutang itu hanya dapat dijelaskan selepas mereka bersara dan tidak menjadi wakil rakyat lagi.

Katanya, itu adalah bukti khidmat wakil rakyat PAS sepanjang masa dan kepada semua, bukan hanya pada musim pilihan raya umum, pusat, negeri dan pilihan raya kecil semata-mata.

“Kini, selepas ramainya ahli PAS daripada pelbagai lapangan dan kebolehan, usaha-usaha ini diatur secara sistematik dalam lapangan yang lebih luas. Di samping penubuhan lujnah-lujnah khusus, ada pula NGO-NGO yang bernaung di bawah PAS untuk meluaskan lagi khidmat masyarakat serta tidak terkepung dengan sekatan undang-undang dan politik yang dicipta.

“Sehinggakan, khidmatnya mampu menjangkau dan meredah seluruh negara dan luar negara apabila berlaku pelbagai bencana alam, termasuklah mangsa bencana peperangan yang paling berbahaya,” katanya.

Hadi menyatakan, kegiatan ini melibatkan semua ahli PAS, daripada kalangan profesional sehinggalah ahli biasa yang terdiri daripada orang dewasa, pemuda dan muslimat.

“Saya mendengar pelbagai cerita yang sangat mencabar. Pernah sekali rombongan PAS yang turun padang membantu mangsa banjir di kawasan kubu parti kerajaan yang memerintah, dilempar cemuhan dan kata-kata yang sangat menyayat hati seperti:
“Datanglah! Kami tetap tidak akan mengundi kamu apabila diadakan pilihan raya.”

“Namun begitu, khidmat kami tetap diberikan kepada rakyat, kerana bukan masanya untuk berpolitik ketika bencana, yang lebih wajib adalah untuk bersikap kemanusiaan. Akan tetapi, mereka itu dalam keadaan tidak mempunyai rasa malu, ada daripada kalangan ahli parti mereka yang mencuri subsidi untuk rakyat dan barangan bantuan kepada mangsa, ketika wajib mengorbankan diri dan tenaga kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat