Oleh Zihan Zari
TANJUNG BIDARA – Pembinaan Dewan Terbuka Kampung Pulau bernilai RM1 juta
melalui Program Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
telah siap dilaksanakan wajar dijadikan model rintis kepada pembangunan ruang komuniti desa yang berfungsi sebagai pusat aktiviti sosial, belia dan pemindahan ilmu bersama universiti.
Kemudahan ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 400 penduduk Kampung Pulau, termasuk belia, warga emas dan persatuan setempat, dengan potensi menganjurkan puluhan program komuniti setiap tahun, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dewan Terbuka Kampung Pulau di bawah Program KAM KPT di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) KPT , Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Naib Canselor (Akademi & Antarabangsa) UTeM, Prof Dr. Mohd Rizal Salleh; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah,
(MPAG), Datuk TPr. Saifudin Abdul Karim; dan Mantan KSU KPT, Prof. Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, setiap dasar dan inisiatif yang digubal berpaksikan satu matlamat iaitu rakyat mesti didahulukan dalam setiap agenda pembangunan.
“Semangat inilah yang mendasari agenda Melaka Sayang Rakyat, Demi Rakyat, Untuk Rakyat’ dan usaha ini yang menjadi teras pentadbiran negeri dalam memastikan nikmat pembangunan dirasai secara saksama oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Berpegang teguh kepada prinsip tersebut, Kerajaan Negeri terus mengorak langkah memperkukuh pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang membawa manfaat langsung kepada rakyat hingga keakar umbi,” katanya.
Menurutnya, dalam usaha memperkasakan komuniti Desa dan rakyat Melaka, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Kampung Digital, e-mel Rakyat, konvensyen khas pedidikan, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Karnival Kampung Kita.
Terdahulu, Dr. Anesee berkata, projek KAM di Kampung Pulau membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan fasiliti komuniti yang kondusif, sambil memastikan pembangunan fizikal seiring dengan pembangunan modal insan melalui pembudayaan ilmu.
Beliau berkata, dewan terbuka yang telah siap dibina sepenuhnya pada 30 September tahun lalu itu merupakan sebuah projek pembangunan di bawah Program KAM yang dilaksanakan KPT dengan kerjasama MPAG menggunakan peruntukan khas Kementerian Kewangan (MoF).
Menurut beliau, dewan ini bernilai RM1 juta itu bakal menjadi hab aktiviti kemasyarakatan yang selesa, manakala dana tambahan RM200,000 turut diperuntukkan bagi menaik taraf gelanggang futsal yang diselia oleh UTeM selaku agensi pelaksana.
Menurutnya lagi pemilihan Kampung Pulau sebagai KAM pada 2024 bertujuan menjalin hubungan strategik antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat, sekali gus menterjemahkan aspirasi Belanjawan 2024 dan 2025 yang menekankan projek berimpak sosial tinggi.
Katanya, UTeM memainkan peranan signifikan melangkaui fungsi tradisional pengajaran dengan membawa masuk kepakaran pensyarah dan pelajar ke dalam komuniti bagi menjayakan lima program bimbingan yang direka khusus untuk penduduk.
“Antara inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan adalah Projek Rintis Akuaponik Berasaskan Internet of Things (IoT), yang bertujuan mendedahkan penduduk kepada teknologi pertanian pintar bagi meningkatkan hasil dan kecekapan.
“Bagi memupuk minat generasi muda, program kesedaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut diadakan melalui pemindahan kepakaran kejuruteraan secara langsung daripada mahasiswa kepada anak-anak kampung, ”katanya lagi.
Ujarnya, golongan wanita di kampung ini juga tidak dipinggirkan apabila mereka diperkasa menerusi Kursus Keusahawanan Makanan dan Minuman (F&B), satu usaha praktikal bagi membantu menjana pendapatan tambahan keluarga agar lebih mandiri.
“Kejayaan pendekatan holistik ini diharap dapat meningkatkan literasi digital dan kemahiran insaniah penduduk selaras dengan hasrat melahirkan masyarakat madani yang progresif, serta membuktikan institusi pendidikan tinggi mampu menjadi pemangkin perubahan sosial di peringkat akar umbi, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV



