Akmal tak pernah melangkaui Presiden Umno, tak benar belakangkan pimpinan tertinggi – Pemuda Umno Baling

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda Umno Mohamed Khairul Azman Azeez tegas mempertahankan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh yang kini berdepan polemik dan kritikan.

Azman yang juga Ketua Pemuda Umno Baling menegaskan, adalah tidak benar sama sekali dakwaan bahawa Dr Akmal bertindak secara bersendirian atau membelakangi kepimpinan tertinggi parti.

“Saya menyatakan pendirian jelas untuk berdiri bersama Datuk Dr Akmal Saleh, Ketua Pemuda Umno Malaysia, dalam menghadapi polemik dan kritikan yang sedang berlegar ketika ini.

“Sokongan ini bukan berasaskan emosi atau sentimen peribadi, sebaliknya berlandaskan fakta, prinsip perjuangan parti serta disiplin organisasi Umno.

“Dr Akmal menjalankan peranan beliau selaras dengan mandat Pemuda Umno sebagai suara anak muda dan akar umbi. Setiap pandangan yang disuarakan adalah refleksi keresahan serta harapan ahli di bawah, dan dibawa melalui saluran parti yang sah, beradab dan bertanggungjawab,” tegas Azman.

Beliau yang juga Ketua Putera Umno memberitahu, Dr Akmal tidak pernah melangkaui Presiden Umno, malah katanya sentiasa berbincang, mendapatkan pandangan serta menghormati keputusan Presiden Umno dan kepimpinan parti dalam setiap isu penting yang melibatkan hala tuju parti dan Pemuda.

“Ketegasan Dr Akmal dalam isu-isu nasional harus dilihat sebagai keberanian politik yang berprinsip, bukan sebagai tindakan yang melemahkan parti.

“Umno memerlukan kepimpinan muda yang berani bersuara, namun tetap berpaksikan kesetiaan, adab dan disiplin parti.

“Pada masa yang sama, saya menyeru semua pihak agar kekal tenang dan rasional, serta memberi ruang sepenuhnya kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kepimpinan parti untuk berbincang dan membuat pertimbangan terbaik demi kepentingan Umno secara keseluruhan.

“Biarlah Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bakal tiba menjadi medan penyatuan, perbahasan terbuka dan hujah yang matang, selaras dengan tradisi demokrasi parti. Perbezaan pandangan tidak seharusnya memecah-belahkan, sebaliknya menguatkan saf perjuangan jika diurus dengan kebijaksanaan.

“Saya amat yakin dan percaya ramai lagi berdiri teguh bersama Dr Akmal dalam usaha memperkukuh Pemuda Umno sebagai wadah perjuangan anak muda yang berani, berprinsip dan setia kepada kepimpinan parti,” ujar Azman.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat