KOTA KINABALU — Datuk Seri Panglima Joseph Kurup mengumumkan bersara dalam politik dan melepaskan jawatan sebagai Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkuatkuasa serta merta.
Ketua Penerangan PBRS, Datuk Fredie Sua berkata Ahli Majlis Tertinggi (AMT) sebulat suara bersetuju melantik Datuk Arthur Joseph Kurup selaku Timbalan Presiden untuk mengambil alih jawatan Presiden PBRS yang baharu.
“AMT telah meluluskan usul untuk melantik Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup sebagai Pengerusi Kehormat PBRS berkuatkuasa serta merta,” jelasnya pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Joseph Kurup mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua AMT dan Ketua-Ketua Bahagian serta seluruh ahli PBRS yang kekal setia dan konsisten berjuang bersama dalam PBRS sejak penubuhan PBRS pada tahun 1994.