PRU-15 : Cita-cita utama UMNO – Nazri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sekiranya UMNO nekad memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Perhimpunan Agung yang dijadual 31 Januari ini ia tidak semestinya mengheret kepada pembubaran Parlimen pada 1 Februari.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, dalam keadaan UMNO tidak lagi memberikan sokongan kepada Bersatu, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik kerajaan sementara sehingga keadaan selamat untuk pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Bekas menteri pelancongan itu memberitahu niat UMNO ialah membuka jalan kepada PRU15.

“Apa yang dilakukan UMNO sekarang adalah untuk mencetuskan situasi yang akhirnya akan membawa kepada pembubaran Parlimen agar PRU diadakan.

“Tetapi ia masih bergantung kepada Agong untuk memutuskan bila Parlimen boleh dibubarkan.

“Itu adalah hak Agong. Kalau Agong rasa belum masa untuk bubar parlimen, baginda boleh melantik kerajaan sementara,” katanya menurut portal itu.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata situasi semasa Covid-19 di negara ini berada pada tahap genting dan mencadangkan agar perintah kawalan pergerakan lebih bersasar dilaksanakan.

Situasi getir pandemik itu berlaku ketika hubungan UMNO dengan Bersatu semakin tegang ekoran satu demi satu bahagian parti itu mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama terbabit.

Malam tadi Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk membawa usul berkenaan ke perhimpunan agung parti pada hujung bulan ini supaya diputuskan.

Perkembangan sama, UMNO sendiri sebelum ini mendesak agar PRU diadakan segera dengan alasan supaya kerajaan yang mendapat mandat rakyat dapat dibentuk.

Kata Nazri walaupun usul tersebut belum diputuskan secara rasmi dia berpendapat langkah menamatkan hubungan dengan Bersatu itu akan berlaku juga akhirnya.

Dalam pada itu, ahli Nazri menegaskan, tanpa sokongan UMNO kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), PRU ke-15 tidak semestinya diadakan serta-merta.

Nazri juga menegaskan, langkah UMNO menolak Bersatu tidak semestinya bermakna mereka mahu membentuk kerajaan dengan kerjasama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau kita boleh adakan PRU, mengapa UMNO mahu bentuk kerajaan dengan PKR?” katanya.

Semalam bekas setiausaha agung BN,Tan Sri Annuar Musa mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah menulis kepada Agong untuk menyatakan sokongan terhadap usaha Anwar menjatuhkan kerajaan PN.

Bahkan, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata Pakatan Harapan (PH) menyedari perkembangan itu sejak September tahun lalu dan terbuka untuk bekerjasama dengan Ahmad Zahid bagi menggantikan kerajaan sekarang.

Kata Nazri buat masa ini UMNO kekal dengan pendirian mereka iaitu menolak DAP dan Anwar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat