KUALA LUMPUR: Semua Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO akan terus mendokong pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, pendirian itu selaras dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada 24 November 2022 tahun lepas dan diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari tahun ini.
Asyraf menerusi kenyataan medianya juga berkata, MKT UMNO juga telah bersetuju untuk menganjurkan Konvesyen Kerajaan Perpaduan diperingkat negeri-negeri bermula Januari tahun depan.
Tambahnya lagi, MKT dalam mesyuarat malam ini juga menegaskan pendirian parti untuk memperkukuhkan dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sebagaimana Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
“Sempena setahun usia Kerajaan Perpaduan Malaysia, Majlis Kerja Tertinggi menegaskan pendirian parti untuk memperkukuhkan dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sebagaimana Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong,
“Memperteguhkan asas-asas kerjasama yang dipersetujui bersama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia melalui perjanjian yang telah dimeterai terutamanya berkenaan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa Orang Melayu, Bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” katanya lagi.
Mesyuarat MKT dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-naib Presiden, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Johari Ghani dan Ahli-ahli MKT, di Menara Dato’ Onn, malam ini.
Selain itu, MKT juga bersetuju mengadakan Kolokium Khas Bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal membentangkan hala tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk umat Melayu di negara ini bagi mempastikan agenda Melayu terus diperkasakan.-SUARATV