KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan dua kawasan berkeluasan lebih 400 hektar untuk tujuan eksplorasi unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, aktiviti perlombongan NR-REE di dua kawasan itu kemudiaannya bersedia dimulakan sekiranya eksplorasi berkenaan berjaya menemukan bahan mineral tersebut.
“Eksplorasi ini akan dilaksanakan oleh syarikat tempatan dan ia tidak akan mengambil masa lama selepas itu boleh dibuat terus (perlombongan).
“Saya tidak tahu (nilai REE) sebab tidak masuk lagi, mula-mula kena buat eksplorasi barulah kita tahu lebih kurang nilainya, sama ada ia dijumpai atau tidak jumpa.
“Kita sebelum telah dapat lampu hijau untuk melombong REE ini dan ia akan mengikut SOP dan peraturan yang disediakan kerajaan negeri dan telah dipersetujui selepas dilakukan beberapa kali perubahan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di Seremban pada Rabu.
Pada awal tahun lalu, Menteri Besar memaklumkan, kerajaan negeri sudah meluluskan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan NR-REE di negeri ini.
Menurut Aminuddin, antara keputusan yang diambil dalam SOP itu adalah semua pembangunan berkaitan NR-REE di negeri ini mesti mempunyai usaha sama dengan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) Negeri Sembilan.
Ia supaya kerajaan negeri dapat memantau perkembangan aktiviti perlombongan termasuk bagi mengetahui berapakah hasil yang diperoleh.
Katanya lagi ketika itu, sumber REE di negeri ini dikenal pasti berada di daerah Jelebu dan Kuala Pilah.
Sementara itu, Aminuddin berkata, pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah, Johor seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dilihat penting khususnya bagi menyelesaikan masalah kesesakan ke Port Dickson khususnya pada setiap hujung minggu.
“Lebih mudah untuk pelancong datang ke Port Dickson, ini pastinya memberikan impak ekonomi yang berganda. Jika WCE ini juga disambung terus ke KLIA ia juga nanti akan memberi manfaat kepada penduduk dari Melaka dan Johor,” katanya memetik laporan Utusan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 baru-baru ini memaklumkan Lebuhraya WCE Banting- Gelang Patah menjadi satu daripada lima projek berkepentingan rakyat yang akan diberi keutamaan pada tahun hadapan.