KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil memperjelas polemik terkait pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai ‘Rangkaian 5G Kedua’ bagi melengkapi model Dwi Rangkaian Borong sedia ada yang disediakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB).
MCMC menjawab persoalan-persoalan yang muncul dan diperdebat selepas pengumuman pemilihan U Mobile itu pada 2 Nov 2024, baru-baru ini.
Suruhanjaya itu memperincikan kriteria pemilihan U Mobile Sdn Bhd dalam Rangkaian 5G Kedua yakni keputusan berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan,serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
“Ini termasuk sumbangan memberangsangkan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.
“Melalui pemilihan ini, tanggungjawab pengawalseliaan terhadap U Mobile boleh dikuatkuasakan mengikut pematuhan yang telah ditetapkan. Jika terdapat ketidakpatuhan, penalti akan dikenakan.
“U Mobile Sdn Bhd, sebagai penyedia rangkaian 5G kedua, dibenarkan untuk bekerjasama dengan rakan ekosistem yang lain tertakluk kepada kelulusan MCMC,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, MCMC menangkis dakwaan wujudnya monopoli dengan rangkaian kedua berkenaan.
“Tidak, rangkaian kedua ini dilihat akan meningkatkan daya saing dalam penyediaan rangkaian 5G negara dan seterusnya memberi pilihan kepada rakyat,” katanya.
Bahkan MCMC juga menyatakan DNB akan kekal dan terus beroperasi seperti biasa sebagai sebahagian daripada dwi rangkaian 5G.
Menjawab kritikan negatif yang muncul, MCMC mengesahkan pembangunan rangkaian 5G kedua ini tidak melibatkan dana awam sebaliknya sepenuhnya swasta.
“Rangkaian kedua ini adalah swasta sepenuhnya. Tiada dana awam yang akan diperuntukkan untuk penyediaan rangkaian 5G kedua negara.
“U Mobile Sdn Bhd akan diperuntukkan dengan jalur-jalur spektrum 5G bagi membangunkan rangkaian 5G kedua tersebut.
“U Mobile Sdn Bhd juga akan dikenakan fi berkaitan, selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000,” jelas MCMC lagi.
Mengulas lanjut MCMC berkata, pendekatan dwi rangkaian ini memberi lebih banyak persaingan dalam landskap telekomunikasi, yang mendorong inovasi dan peningkatan kualiti perkhidmatan.
Ujarnya, dengan adanya rangkaian 5G kedua, Malaysia dapat mempelbagaikan pilihan perkhidmatan, memastikan pengguna mempunyai akses kepada
harga yang lebih kompetitif serta liputan yang lebih baik.
“Langkah ini penting untuk merapatkan jurang digital dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui infrastruktur digital yang lebih baik dan jangkauan yang lebih meluas, terutama di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan luar bandar.
“Matlamat MCMC adalah untuk memastikan liputan dan aksesibiliti di seluruh negara.
“Dengan adanya rangkaian 5G kedua, persaingan dalam industri telekomunikasi akan meningkat, mendorong penyedia perkhidmatan untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dan inovatif pada harga yang lebih kompetitif.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, tetapi juga memacu pertumbuhan sektor-sektor seperti perkilangan, teknologi maklumat, dan ekonomi digital,” jelas MCMC.