KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi China, Huawei perlu melalui proses tender terbuka bagi rangkaian kedua perkhidmatan 5G negara.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, pengendali rangkaian 5G kedua atau Entiti B kelak akan menjalankan proses yang sama mengikut tatakelola mereka dalam melantik vendor bagi penyedia perkakasan rangkaian 5G
Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin semasa sesi Kamar Khas di Parlimen pada Isnin.
Ahli Parlimen Masjid Tanah tersebut mempersoal pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Huawei akan dilibatkan secara terus dalam pelaksanaan entiti 5G kedua negara.
Menurut Mas, tindakan itu menimbulkan pelbagai keraguan mengenai tatakelola Kerajaan Perpaduan di dalam pertimbangan dasar 5G negara.
Beberapa minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Huawei akan diberi peluang terbabit sebagai pembekal peralatan 5G negara bagi entiti kedua.
Pengumuman tersebut menimbulkan pelbagai persoalan mengenai tatakelola kerajaan dan lobi Huawei ke atas kerajaan.
Sementara itu, Nie Ching berkata, proses tender terbuka untuk rangkaian kedua tersebut akan dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad, seperti mana sewaktu dimenangi Ericsson dahulu.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKD telah ditubuhkan pada Mei 2023 bagi memastikan peralihan kepada dwirangkaian 5G berjalan dengan lancar.
“Setakat ini, proses peralihan ini berjalan lancar meskipun terdapat beberapa isu yang akhirnya dapat diselesaikan melalui beberapa siri perbincangan yang diadakan bersama semua pihak berkepentingan.
“Akhirnya, matlamat utama yang ingin dicapai oleh Kerajaan ialah penyediaan liputan perkhidmatan 5G yang menyeluruh pada harga yang berpatutan, di samping penerimagunaan teknologi 5G yang meluas dalam kalangan pihak perusahaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu Nie Ching berkata, Kerajaan kekal dengan pendirian bahawa pemilihan vendor bagi penyediaan perkakasan rangkaian adalah keputusan komersial oleh pihak syarikat penyedia perkhidmatan.
“Selaras dengan dasar pasaran yang terbuka, beliau berkata, Kerajaan tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada pihak syarikat penyedia perkhidmatan dalam pemilihan vendor bagi penyediaan perkakasan rangkaian mereka.
Nee Ching turut mempertahankan pelaksanaan model dwirangkaian itu. Menurutnya amalan itu selari dengan amalan di negara-negara lain yang menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan sahaja untuk rakyat, malah juga untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.
“Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia dalam jangka masa panjang. Model dwirangkaian ini akan mewujudkan persaingan antara kedua-dua pihak yang membangunkan dua rangkaian 5G di Malaysia, sekali gus mendorong kepada pembinaan rangkaian mudah alih yang efisien, peningkatan inovasi dan pengoptimuman kos pelaksanaan.
“Perkara ini secara tidak langsung akan memberikan impak positif kepada rakyat sebagai pengguna melalui perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya lagi.