KUALA LUMPUR – Nilai ringgit dijangka mengukuh secara lebih mampan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuhkan daya saing Malaysia.
Perdana Menteri berkata, dua inisiatif kerajaan ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.
“Pada hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2023 untuk mendengar perkembangan terkini mata wang ringgit serta membincangkan dua kertas cadangan iaitu Penambahbaikan Proses Belanja Pembangunan (DE) dan Menoktahkan Kemiskinan.
“Prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran, terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, dan faktor geopolitik.
“Walau bagaimanapun, perkembangan mata wang ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.
“Usaha Kerajaan terhadap pembaharuan struktur, termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuhkan daya saing Malaysia,” katanya pada Isnin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, mesyuarat telah meneliti dan mendapati bahawa perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar.
“Hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Selain itu, pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan telah menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap
pertumbuhan ekonomi.
“Turut didapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek-projek ICT sukar dilakukan dengan berkesan, dan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos. Ini boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT,” katanya.
Dalam hal ini beliau menyatakan, kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk
menambahbaik proses-proses dalam pelaksanaan projek DE seperti berikut iaitu pembentukan pasukan rentas kementerian (KE, ICU, MOF, JKR, JPS, MAMPU dan jabatan-jabatan terbabit) untuk menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan.
“Keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus yang ketat.
“Keputusan dasar ke arah pemusatan (sentralisasi) pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi/kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech,” ujar beliau.
Tambah Anwar, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai status pelaksanaan dalam usaha menoktahkan miskin tegar serta cabaran-cabaran yang dihadapi.
Katanya, telah banyak usaha dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi miskin tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.
“Usaha-usaha ini telahpun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belengu miskin tegar.
“Dalam mesyuarat ini, Kerajaan bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan iaitu, semua agensi dan kementerian menyemak dan mengemaskini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan > PGK makanan dalam 2023.
“Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki 3 bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian.
“Juga bantuan tunai khas secara bulan akan dipertimbangkan untuk melepasi PGK makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan (atas faktor umur, kesihatan),” katanya.
Kerajaan sentiasa berusaha memastikan bahawa segala perancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan memberi nilai yang terbaik kepada negara dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan bagi mencapai matlamat, kata Perdana Menteri lagi.