PETALING JAYA – Peminat setia Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila Kim Pan Gon hampir pasti kekal membimbing pasukan pada tahun depan walaupun masih belum menandatangani kontrak lanjutan secara hitam putih.
Difahamkan, kontrak pengendali import dari Korea Selatan itu akan berakhir pada Januari depan, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih memiliki pilihan untuk menawarkan kontrak lanjutan selama setahun kepada jurulatih dari Korea Selatan itu.
Setiausaha FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, Pan Gon mendapat sokongan badan induk itu untuk terus memajukan pasukan negara selain sudah merangka pelan untuk mengharungi semua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.
Kata Noor Azman, sebarang keputusan melibatkan lanjutan kontrak pengendali berumur 54 tahun itu akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Sudah ada perbincangan (isu lanjutan kontrak), tetapi biar lah kita selesaikan kempen pusingan Kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia dahulu.
“Betul beliau (Pan Gon) akan terus dapat peluang pasukan kebangsaan kerana beliau telah merangka segala program sehingga tahun depan,” katanya pada sidang media Mesyuarat Eksekutif FAM di Wisma FAM, semalam.
Sebagai rekod, Pan Gon telah dilantik membimbing skuad Harimau Malaya pada Januari 2022 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Cheng Hoe dengan kontrak selama dua tahun.
Kehadiran Pan Gon dilihat telah merubah corak permainan Harimau Malaya secara drastik sehingga meningkat ranking dunia di kedudukan ke-137 ketika ini.
Misi bekas pengendali Hong Kong itu selepas ini adalah untuk membantu pasukan bersaing pada saingan Piala Asia edisi 2023 di Qatar pada Januari nanti.
Harimau Malaya akan memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November di gelanggang sendiri diikuti aksi dengan Taiwan (21 November). – Utusan