KUALA LUMPUR – Kerajaan Sarawak akan menambah lebih banyak empangan melata dwi fungsi yang bukan saja menjana tenaga hidroelektrik tetapi juga membantu mengawal populasi buaya yang semakin membimbangkan di beberapa sungai utama di negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, empangan itu direka khusus untuk menjana tenaga elektrik berskala sederhana atau kecil, bergantung kepada bentuk muka bumi dan aliran sungai di lokasi terbabit.
Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong matlamat jangka panjang kerajaan Sarawak untuk mencapai penggunaan sepenuhnya tenaga boleh diperbaharui seiring dengan pembinaan empangan berskala besar seperti Bakun, Murum serta Baleh.
“Empangan melata itu tidak menggunakan kawasan tanah yang luas dan kita memanfaatkan sungai yang ada untuk menghasilkan tenaga.
“Selain itu, empangan melata dirancang untuk mengawal pergerakan serta pembiakan buaya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke – 40, Loji Hidroelektrik Batang Ai, sempena sambutan Hari Tenaga Hidro Global di Batang Ai Operator Residence , di Lubok Antu, di Sri Aman lapor BH pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri Utiliti (Hal Ehwal Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki.
Empangan Batang Ai adalah empangan hidroelektrik keempat dibina di negara ini selepas Empangan Chenderoh dan Temenggor di Perak serta Kenyir di Terengganu.
Empangan hidroelektrik yang beroperasi sejak 1985 itu kini memiliki kapasiti tenaga 100 megawatt (MW) dan kini ditambah dengan tenaga solar terapung berkapasiti 50 MW.
Mengulas lanjut rancangan membina empangan melata untuk mengawal populasi buaya, Abang Johari berkata, berdasarkan kajian apabila air sungai berkocak disebabkan turbin janakuasa, habitat buaya akan terganggu sekali gus mengurangkan pembiakan dan menyekat laluan reptilia itu untuk ke kawasan hulu.
Sekarang bot semakin kurang digunakan oleh masyarakat luar bandar menyebabkan populasi buaya turut meningkat.
“Buktinya di Sungai Batang Rajang, apabila jalan raya dibina sehingga Baleh dan Belaga, penduduk semakin kurang menggunakan bot, sekarang buaya sudah ditemui di kawasan itu,” katanya.
Menurutnya lagi, kehadiran buaya di kawasan hulu sungai mencetuskan kebimbangan masyarakat di pedalaman.
Justeru, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan masyarakat Penan yang mencadangkan pembinaan empangan melata itu sebagai strategik mengawal buaya.
“Berikutan itu empangan terbabit dirancang dibina di beberapa sungai di pedalaman antaranya Sungai Gaat dan Sungai Belaga di Kapit serta Sungai Tutoh di Baram,” katanya.



