Inap desa boleh jadi tonggak utama pacu Tahun Melawat Malaysia 2026

PUTRAJAYA, – Sektor inap desa (homestay) diletakkan sebagai tonggak penting dalam usaha merealisasikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dengan sasaran menjana pendapatan sehingga RM200 juta pada tahun tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menekankan komitmen ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa Kali Ke-3 Bil. 2 Tahun 2025 hari ini. Mesyuarat tersebut menjadi platform untuk memperhalusi dan menyelaras pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) sempena VM2026, khususnya dalam aspek promosi dan peningkatan kualiti perkhidmatan.

Menurut Ahmad Zahid sehingga Ogos 2025, PPHM telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan menjana pendapatan lebih RM39.83 juta dan menerima lebih 620,000 pelancong di inap desa seluruh negara. Negeri Sabah, Johor, dan Pahang mendahului senarai sebagai lokasi inap desa dengan jumlah pelancong tertinggi.

“Kerajaan, melalui KKDW, MOTAC, KUSKOP serta agensi berkaitan, komited memperkukuh PPHM. Kami optimis pendekatan bersepadu ini akan membolehkan pendapatan sektor inap desa mencapai sasaran RM200 juta pada 2026, seterusnya menyumbang signifikan kepada sasaran 5 juta pelancong menjelang 2030,” katanya.

Bagi mengukuhkan lagi sumbangan sektor ini, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah strategik. Pemasaran diperhebat melalui misi jualan, pameran, dan seminar di pasaran sasaran utama seperti Indonesia, China, Korea, Jepun, Vietnam, dan New Zealand.

Platform digital jomhomestay.my dan go2homestay.my turut diperkasa bagi memudahkan urusan tempahan.

Selain itu, lebih 12 skim pembiayaan dan geran kerajaan ditawarkan kepada pengusaha melalui agensi seperti TEKUN Nasional, AIM, SME Bank, Bank Rakyat, dan SPED.

Kemudahan ini bertujuan meningkatkan kualiti premis dan memperkukuh daya saing produk komuniti di peringkat global.

Pengusaha digalakkan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini.

Fokus Pelancongan Pendidikan dan Infrastruktur Komuniti

Inap desa kini disasarkan sebagai destinasi pelancongan pendidikan (edu-tourism), menyasarkan pelajar dari Jepun, Korea, China, Vietnam, Singapura, dan Indonesia. Program pertukaran pelajar diperluas melalui kerjasama dengan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi menjadikan Malaysia destinasi edu-tourism unggul serantau.

Dalam aspek sokongan fizikal, KKDW telah meluluskan peruntukan lebih RM1.1 juta bagi baik pulih jalan perhubungan desa dan kemudahan komuniti.

Tumpuan juga diberikan kepada pembangunan modal insan, khususnya pengusaha wanita, melalui program berasaskan TVET seperti TVET JELITA dan Latihan Pengoperasian Homestay oleh INFRA (KKDW), yang menawarkan penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2 dan 3.

Ahmad Zahid mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa inap desa adalah nadi penghubung antara pelancong dan komuniti desa.

“Ia bukan sahaja menjana pendapatan, bahkan melestarikan budaya, memperkukuh perpaduan, serta membuka peluang baharu untuk generasi muda. Melangkah ke VM2026, kita mahu inap desa menjadi kebanggaan negara dan simbol hospitaliti desa Malaysia di mata dunia,” tambah beliau.

Kerajaan yakin pendekatan bersepadu ini akan memperkukuh ekonomi desa dan imej Malaysia di pentas dunia. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat