KUALA LUMPUR – Naib Ketua Muda Keadilan (AMK) Nabil Halimi menuntut Datuk Seri Tiong King Sing dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membuat permohonan maaf.
Bukan cuma itu, Nabil juga menggesa agar satu siasatan dalaman harus dijalankan ke atas majlis tersebut.
“Saya merujuk kepada isu berkenaan sebuah majlis makan malam rasmi yang dikaitkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), di mana telah timbul dakwaan bahawa minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis tersebut baru-baru ini.
“Sama ada majlis tersebut dianjurkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan, mana-mana acara yang melibatkan kehadiran rasmi Menteri, keterlibatan aktif kementerian, atau agensi seperti Tourism Malaysia, tidak wajar membenarkan penghidangan minuman beralkohol secara terbuka.
“Ia mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti budaya, agama, dan nilai masyarakat Malaysia Madani yang berteraskan prinsip adab dan hormat,” tegas beliau.
Sehingga kini kata Nabil, tidak ada sebarang permohonan maaf yang dikemukakan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan.
“Sebaliknya, kenyataan yang diberikan bersifat defensif dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.
“Ini bukanlah contoh kepimpinan yang bertanggungjawab apatah lagi dari seorang menteri yang diberi amanah untuk mewakili Kerajaan Madani. Ianya turut memperlihatkan kegagalan pihak kementerian dalam pengawalan dan pengurusan acara rasmi.
“Saya menggesa agar satu siasatan dalaman harus dijalankan ke atas majlis tersebut. Hal ini demi menunjukkan komitmen dan ketegasan kerajaan dalam menegakkan nilai , adab serta tatakelola baik yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia Madani,” katanya.



