KUALA LUMPUR — Armada BERSATU Malaysia mempersoalkan sejauh mana Perdana Menteri berani mempertahankan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) susulan kontroversi Majlis Global Travel Meet (GTM) 2025, yang didakwa melibatkan hidangan arak serta penafian tanggungjawab oleh kementerian terbabit.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid, menegaskan bahawa Tourism Malaysia (TM) jelas merupakan penganjur tunggal bagi program tersebut yang berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober 2025, seperti yang tertera dalam laman web rasmi acara itu.
“Fakta sudah jelas Tourism Malaysia adalah penganjur utama, bukan sekadar penyokong. Bahkan, dalam surat rasmi kementerian, mereka disenaraikan sebagai penganjur majlis gala rasmi pelancaran GTM 2025.
“Apabila kementerian menafikan penglibatan dan menuding kepada pihak industri, itu bukan sekadar silap komunikasi itu cubaan melepaskan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Harris, majlis ‘Gala Night Dinner & Launch Ceremony Global Travel Meet 2025’ di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, disenaraikan secara rasmi di bawah anjuran TM dalam jadual program, sekaligus menolak dakwaan bahawa pihak luar yang mengurus keseluruhan acara.
“Kenyataan Menteri MOTAC bahawa agensi tidak menyediakan makanan dan minuman adalah penghinaan kepada kecerdikan rakyat,” tegas beliau.
“Dalam itinerari rasmi, majlis itu adalah acara hari pertama. Maka tidak timbul alasan untuk menolak tanggungjawab kepada pihak lain,” katanya.
Beliau turut menambah, tindakan kementerian mengeluarkan penjelasan bercanggah dengan fakta rasmi memberi gambaran bahawa ada usaha menutup kesilapan pengurusan dalaman.
“Ini bukan soal protokol, ini soal integriti pentadbiran.
“Apabila kebenaran boleh disembunyikan di balik alasan, maka prinsip akauntabiliti sudah hilang nilainya,” jelasnya.
ARMADA turut memetik beberapa isu lain yang membabitkan kementerian sama, termasuk video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang tular dan dikritik, penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah TM Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar, serta kekecohan di KLIA pada 29 Jun 2023 melibatkan pelancong dari China.
“MOTAC berdepan terlalu banyak isu yang menunjukkan kelemahan kepimpinan dan pengurusan.
“Rakyat mahu melihat kementerian yang fokus memajukan pelancongan, bukan sibuk memberi alasan setiap kali berlaku kecuaian,” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan TM memeterai kerjasama dengan Starbucks Malaysia bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dianggap tidak membawa impak besar kepada identiti pelancongan negara.
“Malaysia kaya dengan jenama tempatan dan warisan budaya. Mengapa memilih jenama antarabangsa sebagai simbol kempen kebangsaan?.
“Kementerian seolah-olah gagal memahami nilai lokaliti dan aspirasi rakyat sendiri,” katanya.
Dalam kenyataannya, ARMADA menuntut supaya Perdana Menteri mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana menteri atau kementerian yang didapati gagal memikul tanggungjawab, terutama apabila melibatkan isu sensitif yang mencemar nama negara.
“Perdana Menteri perlu menunjukkan prinsip kepimpinan yang tegas tiada sesiapa kebal daripada tindakan undang-undang.
“Jika isu besar seperti ini terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan, persepsi bahawa pemimpin atasan dilindungi akan menjadi semakin kuat,” tegasnya.
Beliau menambah, isu hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan bukan perkara kecil dan menuntut kejelasan serta tindakan segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Kerajaan perlu buktikan akauntabiliti bukan sekadar slogan politik.
“Tindakan disiplin dan siasatan menyeluruh mesti dijalankan agar maruah pentadbiran tidak terus tercalar,” katanya.
ARMADA turut menggesa kepimpinan tertinggi MOTAC termasuk Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia mengaku kecuaian serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat.
“Sudah tiba masanya mereka berani mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada masyarakat. Rakyat bukan mahu menteri sempurna, tapi menteri yang bertanggungjawab.
“Cukuplah menegakkan benang basah. Setiap alasan hanya menambah kemarahan rakyat,” katanya. Pemimpin yang jujur akan mengaku silap bukan mencipta naratif untuk melepaskan diri,” katanya.
Beliau menutup kenyataan dengan menyifatkan pelbagai justifikasi yang dikeluarkan kementerian sebagai “bahan jenaka netizen”, dan mengingatkan bahawa keyakinan rakyat hanya dapat dikembalikan melalui kejujuran.



