ISTANBUL – Sebanyak 11 buah kapal yang membawa ratusan aktivis antarabangsa kini menghampiri Gaza, dalam misi berani mencabar sekatan Israel dan membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang terkepung.
Menurut laporan Agensi Anadolu, konvoi dikenali sebagai Freedom Flotilla Coalition itu kini berada sekitar 545 kilometer dari perairan Gaza, dengan objektif utama untuk menamatkan sekatan haram Israel, menghentikan pembunuhan beramai-ramai, dan mewujudkan koridor laut yang selamat bagi penghantaran bantuan secara terus ke wilayah tersebut.
Aktivis di atas kapal turut merayu kepada masyarakat antarabangsa memberikan perlindungan diplomatik dan politik, ketika mereka semakin hampir ke destinasi yang berisiko tinggi itu.
Pada Sabtu, jawatankuasa penganjur mengumumkan dua kapal tambahan menyertai flotila tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11 kapal, selepas beberapa kapal terdahulu diserang dan ditahan oleh tentera Israel dalam insiden yang mencetuskan kemarahan global.
Dalam serangan pada Rabu lalu, tentera laut Israel menyerbu dan menahan beberapa kapal Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa, serta menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara, termasuk rakyat dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Afrika Selatan.
Freedom Flotilla Coalition merupakan gerakan akar umbi solidariti antarabangsa yang sejak 2010 menganjurkan pelayaran bantuan ke Gaza.
Setiap misi membawa mesej yang jelas iaitu menentang penjajahan dan memecahkan kepungan Israel ke atas hampir 2.4 juta penduduk Gaza yang telah hidup di bawah sekatan selama hampir 18 tahun.
Gerakan ini juga berperanan penting dalam menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing akibat perang, sekatan makanan, ubat-ubatan, serta kemusnahan infrastruktur asas.



