Taiwan tempat menarik yang wajib dikunjungi

- Advertisement -

Seperti berada di negara sendiri, begitulah gambaran perasaan ketika saya menjejakkan kaki di Taiwan. Suasana persekitaran yang bersih, dan kemesraaan para penduduknya membuatkan saya berasa selesa dan tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

Mungkin ramai yang masih tidak pasti atau ragu-ragu untuk melancong ke Taiwan. Saya sendiri pada mulanya tertanya-tanya adakah terdapat makanan halal? Bagaimana untuk menunaikan solat? Semuanya terjawab apabila setiap tempat yang saya kunjungi, adalah sangat mudah untuk mendapatkan makanan yang halal dan enak. Juga mudah untuk mendapatkan ruang melakukan ibadah solat.

Taiwan sememangnya negara yang wajib di kunjungi kerana banyak tempat-tempat yang menarik serta mesra muslim!

1. Xpark Aquarium

XPark Aquarium terletak di Taoyuan iaitu aquarium terbesar yang pertama di Taiwan. Berkeluasan sekitar 14.876 meter persegi, aquarium ini menyimpan pelbagai jenis habitat laut seperti, ikan, anjing laut, penguin dan banyak lagi.

Berbeza dengan aquarium yang ada di tempat lain, saya sangat teruja apabila dapat melihat sendiri kelainan gabungan teknologi digital yang dipamerkan melalui persembahan visual dan lampu aquarium seperti “healing jellyfish” yang membuat jiwa ‘tenang’.

2. Memorial Chiang Kai-Shek

Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk mengenali sejarah dan budaya di Taiwan. Saya berkesempatan singgah di Dewan Memorial Chiang Kai-Shek. Dewan memorial ini dibina untuk memperingati seorang pemimpin dunia yang sangat penting pada abad ke-20. Uniknya, bangunan ini terletak diantara taman tradisi Cina dan dewan kebudayaan negara.

Apabila saya memasuki dewan utama, saya dapat melihat sebuah patung gangsa Chiang Kai-Shek yang besar, duduk di atas kerusi.

Sambil mengambil gambar di sekitar dewan, saya mendengar derapan kaki oleh askar yang bertugas mengawal dewan tersebut. Betapa beruntungnya, apabila jadual pertukaran pengawal dilakukan pada waktu itu dan saya dapat menyaksikan mereka berkawad dengan penuh bersemangat.

3. Taipei 101 Observation

Seterusnya anda jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi bangunan tertinggi ikon kebanggaan rakyat Taiwan iaitu Taipei 101 Observation.

Semasa menaiki lif, saya diberitahu Taipei 101 Observation Deck antara lif terlaju di dunia iaitu hanya mengambil 1 minit sahaja untuk ke atas.

Saujana mata memandang, dari ketinggian yang sedikit gayat saya dapat melihat kota raya yang luas. Tanpa melepaskan peluang, saya mengambil gambar dari setiap sudut yang terbaik untuk dijadikan kenangan.

Sekiranya anda ke bahagian tengah bangunan, terdapat Taipei 101 Damper. Berbentuk bulat, ia digunakan untuk mengimbangi bangunan Taipei 101 sekiranya berlaku gegaran dan angin.

4. Vigor Pineapple Cake Dream Factory

Yang paling ditunggu-tunggu ialah mengunjungi Vigor Pineapple Cake Dream Factory! Mengapa saya teruja untuk ke sini? Saya sangat menggemari buah nenas dan semua makanan yang diperbuat darinya. Di sini anda diberikan peluang melakukan aktiviti untuk membuat tart nenas!

Saya diberikan acuan dan tepung yang perlu diuli mengikut kaedah yang betul. Selepas proses menguli tepung, saya diajar membuat bentuk mengikut saiz acuan, kemudian disusun rapi.

Selepas berjalan di sekitar kedai, melihat mesin pembuatan kuih dan sebagainya, sebelum pulang saya diberikan buah tangan iaitu tart nenas DIY yang telah pun siap dibakar!

5. Gaomei Wetland

Jika anda ingin melihat matahari pagi atau petang, Gaomei Wetland adalah tempat yang perlu dikunjungi!

Ketika saya tiba di sini, cuaca tidak mengizinkan kerana hujan turun renyai dan matahari diwaktu petang tidak begitu kelihatan.

Tetapi saya tetap meneruskan misi untuk mengambil gambar keindahan berjalan di atas dock sepanjang 800 meter sambil melihat kincir angin.

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat