Misi Perancis: Malaysia Raih Potensi Pelaburan RM4 Bilion, Eksport RM675 Juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan bernilai RM4 bilion serta potensi eksport sebanyak RM675 juta hasil daripada misi perdagangan dan pelaburan ke Perancis yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat lalu.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), lawatan rasmi tersebut menyaksikan Anwar mengadakan pertemuan dengan lebih 40 wakil sektor industri Perancis, yang menyatakan minat dalam beberapa bidang strategik.

“Beberapa syarikat menyatakan hasrat melabur dalam pembuatan berteknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga boleh baharu, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital serta infrastruktur mampan,” jelas MITI dalam kenyataan dipetik Bernama.

Selain itu, misi tersebut turut menjana potensi eksport bernilai RM675 juta bagi sektor-sektor berimpak tinggi.

“Bagi potensi eksport, RM675 juta dijana untuk sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan industri halal.

“Ini adalah sektor yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau,” menurut kenyataan MITI.

MITI turut menjelaskan bahawa syarikat Perancis yang terlibat menyuarakan minat untuk terus melabur di Malaysia, yang didorong oleh beberapa faktor utama seperti:

  • Ekosistem pelaburan yang kondusif dan stabil

  • Rantaian bekalan domestik yang cekap

  • Tenaga kerja berkemahiran tinggi

  • Permintaan global terhadap produk buatan Malaysia

  • Dasar kerajaan yang mesra pelabur

Misi ke Perancis itu disertai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, selain wakil dari MIDA dan MATRADE.

Tengku Zafrul dalam kenyataannya berkata, pencapaian itu membuktikan kepercayaan berterusan syarikat antarabangsa terhadap daya saing dan potensi ekonomi Malaysia.

“Potensi pelaburan dan perdagangan yang bakal direalisasikan itu juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, serta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Semua ini kunci dalam memacu agenda transformasi ekonomi MADANI kita,” katanya

Lawatan ke Perancis merupakan sebahagian daripada rangka lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil dari 2 hingga 8 Julai.

Anwar turut diiringi oleh beberapa menteri termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat