Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Isnin ini bincang keputusan MCA, MIC tak tanding PRN – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini, akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) Isnin ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau menghormati keputusan diambil kepimpinan tertinggi kedua-dua parti komponen berkenaan, namun perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat terbabit.

“Malam tadi saya dihubungi oleh Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong), mengenai keputusan dibuat oleh pimpinan tertinggi mereka dan saya juga sudah membaca kenyataan dibuat Setiausaha Agung MIC, mengenai keputusan kedua-dua parti untuk tidak menyertai PRN.

“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati keputusan dibuat oleh kedua-dua parti itu, namun kita akan bincangkan pada 10 Julai ini dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) lapor BH di Putrajaya pada Khamis.

Semalam, MCA menerusi kenyataan dikeluarkan setiausaha agungnya, Datuk Chong Sin Woon, memaklumkan parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri yang akan berlangsung bulan depan.

Sebaliknya, MCA akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

Selang beberapa jam selepas itu, satu lagi komponen BN iaitu MIC turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam enam PRN berkenaan.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran menerusi kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lalu setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN sudah memperuntukkan kerusi untuk MCA dan MIC bagi menghadapi PRN, namun beliau menghormati keputusan dibuat kedua-dua parti terbabit.

“Apa yang penting BN sebagai komponen penting dan strategik dalam Kerajaan Perpaduan akan terus bersama untuk menghadapi enam PRN yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan cuba memujuk kedua-dua parti terbabit supaya menyertai PRN, Zahid berkata, Dewan Tertinggi BN akan membincangkan keputusan MCA dan MIC itu.

Menjawab mengenai apa yang berlaku kepada kerusi diperuntukkan kepada MCA dan MIC jika dua parti terbabit tetap dengan keputusan tidak bertanding, Presiden UMNO itu menegaskan kerusi terbabit akan kekal kepada BN.

“Kalau mereka tidak mahu, kita (UMNO) akan ambil,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid menafikan dakwaan wujudnya hubungan dingin antara MCA dan MIC dengan BN selain menolak keputusan itu dibuat dua parti itu sebagai boikot.

“Kita akan menghormati keputusan mereka, ini komitmen mereka untuk terus bekerjasama melaksanakan kempen yang akan dijalankan. Tiada masalah dalam hubungan MCA dan MIC dalam BN, mereka akan tetap turun berkempen, cuma tidak bertanding.

“Saya ingat mereka mempunyai alasan tersendiri dan saya lebih menghormati keputusan itu daripada melakukan pelbagai spekulasi yang kita tidak tahu tetapi lebih elok kita berbincang pada 10 Julai nanti,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat