Ahli Parlimen UMNO Tolak Gesaan Zahid Keluar Dari Kerajaan PN

- Advertisement -

PETALING JAYA: Sebahagian ahli Parlimen UMNO menolak gesa­an Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya keluar daripada kerajaan Perika­tan Nasional (PN) kerana menyifatkan sekarang bukan masa sesuai berpolitik, sebaliknya usaha me­­nangani pandemik Covid-19 le­bih utama.

Utusan Malaysia difahamkan, penolakan itu ditegaskan se­­orang pemimpin kanan parti se­telah ahli-ahli Parlimen terba­bit dipanggil bersemuka dengan Ahmad Zahid di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang semalam.

Sumber parti memberitahu, Ahmad Zahid sebelum itu mahu memanggil seorang demi seorang ahli Parlimen UMNO untuk memujuk mereka keluar dari­pada kerajaan, namun dibantah oleh pemimpin kanan berkenaan dengan memintanya memanggil ahli-ahli Parlimen UMNO secara berkumpulan.

“Pada mulanya Presiden ingin berjumpa dengan ahli Parlimen dalam Kabinet, tetapi nak jumpa seorang demi seorang. Kerana akur dengan parti, jadi mereka pergilah. Tetapi bukan secara seorang demi seorang. Mereka nak jumpa secara serentak.

“Dan mereka menolak cadangan Presiden untuk keluar daripada kerajaan, alasannya, sekarang bukan masa untuk kita berpolitik, tetapi untuk lawan Covid-19,” katanya.

Utusan Malaysia yang turut berada di WTCKL semalam mendapati antara yang kelihatan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pertemuan Ahmad Zahid dengan ahli-ahli Parlimen UMNO semalam hanya beberapa jam selepas kerajaan memaklumkan bersedia membuka sidang Parlimen, 26 Julai ini.

Ia selepas UMNO mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula 21 Jun lalu.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, ia susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.

Gesaan membuka Parlimen antara kata dua yang dibuat Biro Politik UMNO, sekali gus langkah seterusnya akan di­bincang kemudian dalam me­syuarat Majlis Tertinggi (MT).

UMNO sebelum itu juga pernah mengingatkan parti akan keluar daripada PN pada 1 Ogos ini di mana keputusan tersebut telah dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020, Mac lalu.

Ketika ini, menteri-menteri daripada UMNO ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan (Keselamatan); Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan); Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli); Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi) dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan).

Lain-lain ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar); Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara) dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba (Menteri Kesihatan).

Lima Timbalan Menteri daripada UMNO pula ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri); Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (Timbalan Menteri Dalam Negeri); Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia); Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar).

Beberapa hari lalu, bekas ahli MT, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ismail Sabri telah menjemput 28 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir dalam satu perjumpaan bagi memujuk supaya tidak menyokong keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang memutuskan supaya mandat diberi kepada Presiden berhubung tarikh ahli Parlimen BN perlu keluar daripada kerajaan. – UTUSAN

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat