KUALA LUMPUR, 6 April 2025 – Aktivis politik Chegu Bard tampil mempertahankan Zaim, penjaja kecil yang kini lebih dikenali sebagai “Abang Belon”, susulan tularnya video penahanan kasar oleh penguat kuasa. Dalam sidang medianya, Chegu Bard mendedahkan bahawa bukan sahaja Zaim menjadi mangsa keganasan fizikal, malah turut berdepan serangan fitnah dan buli siber yang kejam.
Menurut beliau, beberapa dakwaan liar disebarkan di media sosial dan portal tertentu yang cuba menggambarkan Zaim sebagai penjenayah dan penagih dadah.
“Orang sebarkan cerita kata Zaim tengah khayal, tengah ‘kacip’ masa kena tahan. Tapi saya nak tanya – ada tak bukti? Ada tak ujian air kencing? Tiada! Itu semua fitnah semata-mata untuk jatuhkan maruah dia,” tegas Chegu Bard.
Katanya lagi, Zaim bukan sahaja dihina secara terbuka di media sosial, malah ahli keluarganya turut menerima tekanan dan kecaman. Ini disifatkannya sebagai satu bentuk buli siber yang bertujuan membisukan golongan miskin daripada menuntut keadilan.
“Keluarga dia ditekan, dihina, dimalukan di media sosial. Ini tak patut berlaku. Kita sedang bercakap tentang seorang anak muda miskin yang cuba cari rezeki halal. Tapi hari-hari dia dihentam, macam dia penjenayah paling besar,” katanya.
Chegu Bard turut mengkritik pihak-pihak tertentu yang cuba mengalihkan perhatian dengan memainkan isu latar belakang Zaim, seolah-olah mahu menghalalkan tindakan kasar terhadapnya.
“Kalau pun dia pernah ada kes lampau, itu bukan lesen untuk pukul. Ramai pemimpin politik ada kes mahkamah, malah ada yang dipenjara – hari ini jadi menteri. Jadi kenapa anak muda miskin ini dilayan macam sampah?”
Beliau memaklumkan bahawa Zaim kini diwakili oleh satu pasukan peguam dan bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah serta membuli secara dalam talian.
“Dia bukan lagi berseorangan. Kita akan bawa semua fitnah ini ke mahkamah. Dan saya seru pada rakyat Malaysia – cukup-cukuplah hentam orang miskin. Kalau tak mampu bantu, jangan tambah luka mereka.”
Kes Abang Belon menjadi tular di seluruh negara dan telah mencetuskan perbincangan hangat tentang nasib penjaja kecil serta ketidakadilan dalam penguatkuasaan undang-undang. Dalam masa sama, isu buli siber dan penyebaran maklumat palsu kembali menjadi perhatian.