KUALA LUMPUR – Perpaduan bangsa Melayu dan Islam tidak boleh dibina atas jemputan terpilih atau ‘blame game’ terhadap pihak yang tidak hadir.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Shahrulufti Sharif mengingatkan, jika benar mahu mencari titik persamaan, langkah paling wajar ialah menjemput semua presiden parti Melayu dan Islam untuk duduk berbincang di bawah satu payung besar.
“Dengan cara ini, hala tuju akan lebih jelas, rakyat akan melihat kejujuran, dan usaha ini tidak ditafsir sebagai agenda politik semata-mata.
“Perubahan prinsip tanpa penjelasan yang konsisten hanya menimbulkan tanda tanya.
“Maka, asas kepada perpaduan ialah proses inklusif yang menghormati semua pihak, bukan sidang akhbar atau jemputan separuh jalan,” tegur beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Shahrulufti menegaskan, payung besar Melayu-Islam sepatutnya menjadi platform utama untuk mencari titik persamaan demi agama, bangsa dan negara.



