KUALA LUMPUR – Bekas pegawai kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Jin Shern (James) Chai memaklumkan bahawa beliau hanya pertama kali dihubungi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada malam 5 Mac lalu dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada agensi tersebut.
Dalam satu kenyataan media hari ini, James berkata beliau merujuk kepada kenyataan SPRM bertarikh 5 dan 6 Mac 2026 mengenai penyampaian notis untuk beliau hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pada 5 Mac sekitar jam 11.31 malam dan 11.50 malam waktu Malaysia, beliau menerima dua mesej WhatsApp berasingan daripada nombor yang mewakili SPRM yang meminta beliau hadir memberi kenyataan.
“Mesej-mesej ini merupakan kali pertama saya menerima sebarang mesej daripada mana-mana saluran yang mewakili SPRM. Sebelum ini, saya tidak menerima sebarang bentuk komunikasi dengan sebutan jelas tentang SPRM mahupun sebarang bentuk notis rasmi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa beliau sering menyekat nombor yang mencurigakan atau tidak dikenali kerana kebimbangan terhadap kes penipuan siber yang semakin meningkat di Malaysia, termasuk kes penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
James berkata sejak Notis Kesan Individu terhadapnya diterbitkan oleh SPRM pada 4 Mac lalu, beliau telah menunggu notis rasmi untuk disampaikan kepadanya bagi membolehkan sesi memberi keterangan dijadualkan.
Menurutnya, notis tersebut juga merupakan kali pertama beliau mengetahui mengenai hasrat SPRM untuk mengambil kenyataannya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa dua peguam telah dilantik bagi membantu menguruskan komunikasi dengan SPRM serta perkara berkaitan siasatan tersebut.
Katanya, peguamnya akan menghubungi pegawai penyiasat yang dinamakan dalam notis rasmi SPRM bagi menjadualkan sesi memberi keterangan supaya siasatan dapat dijalankan secara profesional dan saksama.
“Sekali lagi, saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM selari dengan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan,” katanya.



