Rumah Bangsa perlu jelas hala tuju, termasuk isu kemasukan semula bekas ahli UMNO – Tun Faisal

KUALA LUMPUR,– Cadangan mengenai konsep “Rumah Bangsa” yang diperkatakan kebelakangan ini perlu disertai penjelasan jelas mengenai hala tuju politik UMNO, termasuk isu kemasukan semula bekas pemimpin dan ahli parti yang pernah digantung atau dipecat.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata langkah awal yang boleh dipertimbangkan ialah membatalkan semula keputusan penggantungan dan pemecatan terhadap beberapa pemimpin UMNO yang berlaku sejak sebelum 2018.

Menurut beliau, antara nama yang sering disebut termasuk Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, selain puluhan ahli lain yang dikenakan tindakan disiplin parti.

“Boleh mulakan dengan membatalkan dan menarik semula keputusan gantung dan pecat semua pemimpin serta ahli UMNO yang digantung atau dipecat sejak sebelum 2018 lagi. Pada tahun 2023 sahaja lebih 40 orang telah dipecat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Faisal turut menyifatkan langkah itu sebagai lebih praktikal sekiranya UMNO benar-benar serius mahu mengumpulkan semula kekuatan politik Melayu.

Dalam masa sama, beliau berkata usaha sesetengah pihak untuk menubuhkan atau membeli parti baharu tidak semestinya perlu dilakukan sekiranya UMNO bersedia membuka pintu kepada bekas ahli yang pernah disingkirkan.

“Hamzah dan penyokongnya tidak perlu menghabiskan wang untuk membeli parti baharu,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa UMNO juga perlu menjelaskan secara terbuka matlamat politik sebenar parti, khususnya sama ada masih berhasrat menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Katanya, persoalan itu penting kerana kerjasama politik tersebut melibatkan parti seperti DAP serta kelompok yang sering dikaitkan dengan pendekatan liberal dan sekular dalam politik.

Tun Faisal turut menekankan keperluan UMNO menyatakan pendirian yang lebih jelas terhadap isu dasar berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Menurutnya, beberapa perkembangan mutakhir seperti pengguguran rayuan kes penggunaan kalimah Allah, pembatalan beberapa enakmen syariah serta pelaksanaan dasar tertentu menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong tradisional parti.

Beliau juga mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan termasuk pemberian portfolio Menteri Wilayah Persekutuan kepada wakil DAP serta pelaksanaan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dilihat selari dengan pendekatan Pakatan Harapan.

Pada masa sama, Tun Faisal berkata penjelasan juga perlu diberikan mengenai sasaran UMNO dan Barisan Nasional untuk bertanding di 115 kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Adakah sasaran itu akan dilaksanakan bersama Pakatan Harapan atau UMNO dan BN akan bertanding secara solo?” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut membandingkan konsep “Rumah Bangsa” dengan gagasan “Payung Besar Melayu” yang sering dibincangkan dalam politik negara.

Menurutnya, gagasan payung besar Melayu sering dikaitkan dengan usaha menyatukan kekuatan politik Melayu bagi menguasai semula kerajaan selepas kegagalan kerajaan sedia ada menangani pelbagai isu rakyat.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa UMNO sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah ketika ini.

“Jangan lupa, UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan yang gagal hari ini,” katanya.

Isu “Rumah Bangsa” dan penyatuan semula kekuatan politik Melayu terus menjadi antara perbincangan utama dalam landskap politik negara menjelang pilihan raya umum akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat