KUALA LUMPUR – Umno membantah keras dakwaan kononnya parti Melayu itu terkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, Umno tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.
“Umno memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti ini dengan siasatan SPRM yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu.
“Umno menegaskan bahawa parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.
“Umno juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” tegas Asyraf dalam kenyataan pada Khamis.
SPRM sebelum ini mengesahkan merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
SPRM memberitahu, rampasan itu dilakukan ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah pejabat yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safehouse’.
Penggeledahan itu dilakukan hasil siasatan yang dijalankan ke atas empat pegawai kanan Ismail yang ditahan pada bulan lalu.