KUALA LUMPUUR – Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian kes seorang pegawai kastam yang ditemukan maut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di Putrajaya pada pagi Rabu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan juga menjurus kepada mengenal pasti punca kematian individu berkenaan.
“Adalah terlalu awal untuk kita membuat sebarang komen (berkenaan kes itu), memadai dengan kita menyerahkan untuk pasukan polis memulakan siasatan terhadap insiden ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga Kementerian Dalam Negeri pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kastam berusia 45 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terikat menggunakan pengikat kabel.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan berkata, pihaknya mendapati lelaki berusia 45 ditemukan dalam keadaan terbaring di lantai pejabat.
Beliau berkata, mangsa ditemukan dengan keadaan Ieher dan kaki terjerut menggunakan pengikat kabel.
“Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dijumpai di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan terdapat insiden kematian di kompleks kementerian berkenaan pada Rabu.
Menurut kenyataan awal MOF, keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung perkara itu oleh pihak berkuasa.
“MOF turut berdukacita atas kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga.
“MOF memberikan kerjasama penuh dan menyerahkan hal ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan, pihaknya menerima laporan mengenai seorang pegawai lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dalam Pejabat Perbendaharaan, MOF.
Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ditugaskan ke tempat kejadian.
Pegawai itu ditemukan dalam keadaan leher dan kaki terjerut dengan pengikat kabel di lantai pejabat tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati si mati dalam keadaan terbaring atas lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terjerut menggunakan ‘cable tie’ (pengikat kabel).
Mangsa berusia 45 tahun dan merupakan kakitangan jabatan berkenaan. Tiada sebarang unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian.
Polis mengklasifikasi kes sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.