Saravanan tak setuju MCMC gantung stesen radio ERA FM, cuma 3 bersalah pekerja lain tak terlibat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata, tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mencadangkan penggantungan stesen radio ERA FM susulan isu membabitkan tiga penyampai radio dianggap terlalu keras.

Ia akan menjejaskan ramai pekerja lain yang tidak terlibat, katanya.

“Kesalahan itu dilakukan oleh tiga DJ bukan seluruh kakitangan stesen radio. ERA FM telah pun memohon maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Kita bimbang jika stesen ini digantung, ramai pekerja daripada pelbagai kaum akan terkesan, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

MCMC sebelum iti, mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.

MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.

“MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio Era FM.

“Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Saravanan menegaskan kerajaan perlu bersikap tegas terhadap individu yang mencetuskan ketegangan agama di media sosial kerana perkara ini berisiko menggugat keharmonian negara.

“Pihak berkuasa termasuk Polis dan MCMC perlu bertindak terhadap golongan pelampau agama seperti Zamri Vinoth yang secara berterusan mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi dan menanam bibit perpecahan antara kaum di negara ini,” tegasnya lapor MalaysiaGazette.

Pada masa sama, beliau turut menggesa tindakan diambil terhadap individu seperti Vijayan Savarinathan yang didakwa menghina Islam sebagaimana tindakan dikenakan ke atas mereka yang memperlekehkan agama Hindu.

“Kita harus konsisten dalam penguatkuasaan undang-undang. Tidak boleh ada sikap pilih kasih dalam isu sensitif berkaitan kaum dan agama. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan keharmonian mesti dijaga dengan sebaiknya.

“Ini bukan soal perkauman atau agama tetapi tentang menghormati sesama rakyat Malaysia dan memastikan keamanan negara tidak tergugat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat