100 Van DRT dibeli kerajaan untuk kurangkan kesesakan trafik kritikal – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan peluasan lorong khas bas termasuk pembelian 100 unit van Demand Response Transit (DRT) di Lembah Klang bermula September 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, sejak dilaksanakan pada 3 Julai 2023, kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan Lorong Khas Bas Prasarana di Jalan Ampang dan Genting Klang telah menunjukkan respon yang amat menggalakkan.

“Data menunjukkan, berlaku penjimatan masa sehingga 18 minit bagi perjalanan bas di lokasi (point-to-point) dan atas penjimatan tersebut berlaku penambahan jumlah penumpang secara harian sebanyak 20 peratus sehingga 45 peratus.

“Justeru, dengan keberkesanan pengurangan masa perjalanan tersebut, peningkatan kekerapan bas dan jumlah penumpang harian, mesyuarat memutuskan untuk mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang,” katanya pada Rabu.

Ini susulan, beberapa laporan yang menunjukkan lokasi-lokasi di ibu negara yang sering mengalami kesesakan trafik kritikal dan mencapai kadar kelewatan yang sangat tinggi seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Kuching dan Jalan Sungai Besi.

Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil.1/2024 dan beberapa keputusan penting jangka pendek dan jangka panjang telah diputuskan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan hotspot kesesakan.

Kata beliau, mesyuarat turut bersetuju memperluaskan laluan bas khas ke Jalan Klang Lama bermula Jun 2024, serta melaksanakan kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras (Taman Connaught – Jalan Pudu) serta Lebuhraya Persekutuan (Pusat Bandar Kuala Lumpur – Persimpangan Shah Alam).

“Selain itu, mesyuarat telah memutuskan untuk melaksanakan sistem penyuaraian baharu secara berperingkat untuk lokasi-lokasi kritikal kesesakan setelah mendapatkan makluman daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Juga kerajaan telah melaksanakan laluan kontra bagi membantu kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak dan hasil kajian daripada Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) menunjukkan 88 peratus pengguna lebuhraya yang ditemui bersetuju bahawa laluan kontra berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu- lintas,” ujar Zahid lagi.

Dalam pada itu, katanya mesyuarat bersetuju untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan langkah pengoperasian bagi mengelak isu-isu seperti insiden kemalangan hasil pemasangan kon dan penambahan pencahayaan ketika waktu hujan dan gelap.

“Mesyuarat bersetuju untuk PLANMalaysia meneliti cadangan supaya projek-projek pembangunan mengguna pakai konsep berasaskan Transit Oriented Development (TOD) sebagai salah satu langkah jangka masa panjang bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan pembangunan dan pengoperasian stesen ECRL, MRT, LRT dan KTMB,” katanya.

Menurut Zahid, bagi aspek keselamatan jalan raya, bagi tahun 2023, Malaysia telah mencatatkan jumlah kematian berkaitan lalu lintas sebanyak 6,443 orang setahun dengan purata 18 kematian sehari, bersamaan 1 kematian sebanyak 80 minit.

“Daripada jumlah tersebut 4,480 kematian adalah pengguna motosikal dengan purata 12 kematian sehari dan 1 kematian setiap 2 jam.

“Kerajaan akan terus melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya seperti pelaksanaan program menaiktaraf infrastruktur keselamatan jalan raya termasuklah pembaikan permukaan jalan dan bahu jalan; menambahbaik papan tanda, garisan jalan, lampu jalan dan lampu isyarat,” katanya.

Sementara itu, tambah Zahid, mesyuarat kali ini turut membincangkan cadangan-cadangan lain seperti penyuraian trafik Johor Bahru yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Johor.

“Selain itu, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 7.4km dan penambahan 175 kemudahan hentian bas oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang tahun 2024 di kawasan Lembah Klang.

“Saya berharap agar inisiatif dan usaha Kerajaan ini dapat dilaksanakan sebaiknya mengikut perancangan bagi memastikan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam negara dapat ditingkatkan dan seterusnya mampu menarik rakyat untuk beralih kepada penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memenuhi keperluan mobiliti,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat