KUALA LUMPUR – Lelaki warga Indonesia maut terkena bilah kipas helikopter melakukan pendaratan cemas dalam kejadian di Jalan Karak Lama, Bentong, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika helikopter jenis Bell 206 Long Ranger L4 b sedang melakukan pendaratan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Shafie Sulong berkata, ketika mendarat helikopter berkenaan tidak dapat dikawal sebelum terbalik dan terbakar.
“Mangsa berusia 44 tahun bekerja di tapak pendaratan berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Setakat ini operasi pemadaman sedang dijalankan pasukan bomba,” lapor Harian Metro pada Khamis.
Difahamkan, helikopter berkenaan adalah disewa syarikat kontraktor untuk pemasangan kabel elektrik di kawasan sekitar.