KUALA LUMPUR- Wisma Putra disarankan untuk segera memanggil Duta Besar Amerika Syarikat bagi memberikan penjelasan rasmi berhubung cadangan Donald Trump mengambil alih Gaza atau sekurang-kurangnya menghantar Nota Bantahan Diplomatik kepada kerajaan Amerika Syarikat sebagai simbol ketegasan Malaysia dalam menolak cadangan tersebut.
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin menegaskan, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun ini harus menggunakan kapasiti tersebut untuk menggerakkan suara blok ASEAN dalam menolak kenyataan dangkal yang dikemuka Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mencadangkan pengambilalihan Gaza dan pemindahan rakyat Palestin ke negara jiran.
Kata Hafiz lagi,ASEAN tidak boleh berdiam diri apabila kedaulatan sesebuah wilayah dicabar, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan penjajahan semula terhadap rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi.
Menurut beliau, masyarakat antarabangsa harus menolak sebarang cubaan untuk menafikan hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka dan memastikan penyelesaian yang adil serta berlandaskan undang-undang antarabangsa.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan dan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mencadangkan pengambilalihan Gaza dan pemindahan rakyat Palestin ke negara jiran.
“Cadangan ini bukan sahaja melanggar kedaulatan Palestin, tetapi juga bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen Geneva,” tegasnya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar Hafiz, Malaysia sebagai negara yang konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin, mesti mengambil tindakan diplomatik yang tegas.