PM Tunai Impian ‘Wartawan Cilik’

- Advertisement -

CYBERJAYA – Impian seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani yang ingin bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akhirnya menjadi kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Muhammad Haziq yang kini popular dengan jolokan ‘wartawan cilik’ dipertemukan dengan Perdana Menteri di sebuah hotel Alor Setar dan turut diberi kesempatan menemu ramah pemimpin nombor satu negara itu.

Menerusi sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq mengajukan beberapa soalan kepada Perdana Menteri antaranya mengenai perancangan beliau jika diberi peluang menerajui negara 10 tahun lagi, makanan kegemaran dan rutin hariannya.

“Yang pertamanya kita beri fokus untuk menjadikan ekonomi kita negara berpendapatan tinggi, yang keduanya supaya kita boleh bantu masyarakat luar bandar.

“Kita dapat hapuskan kemiskinan supaya tidak ada lagi orang miskin, miskin tegar, kita nak hapuskan dalam tahun 2025 nanti.

“Negara kita pun ke arah neutral karbon supaya tidak ada lagi kalau kita tengok kilang-kilang, asap dan sebagainya, jadi nak jadikan negara kita neutral karbon. Ini semua perancangan masa depan untuk rakyat seperti Haziq,” kata Ismail Sabri.

Muhammad Haziq yang hadir dengan ditemani ibunya Nur Shakilla Zainol, 33, serta beberapa ahli keluarga lain mengakui dia amat berbesar hati dapat berjumpa serta menemu ramah Perdana Menteri.

“Saya sangat berbesar hati dapat jumpa Perdana Menteri. Seronok dapat berjumpa Perdana Menteri Malaysia. Memang rezeki dapat jumpa Perdana Menteri.

“Saya lihat beliau seorang yang baik, penyayang dan handsome orangnya,” kata Muhammad Haziq.

Ismail Sabri berada di Kedah untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan merasmikan projek Kedah Rubber City di Kuala Nerang esok.

Muhammad Haziq sebelum ini meraih perhatian warganet dan menjadi popular selepas videonya yang melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani tular.

Video itu, yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Jan lepas, telah mendapat 1.2 juta tontonan.

Penghidap talasemia itu turut mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

‘Wartawan cilik’ itu juga menerima hadiah berupa sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa selain menerima sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta individu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat