Atu teruskan misi bantu penduduk pedalaman Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prihatin terhadap nasib masyarakat pedalaman di Sabah, pelawak Atu dan isteri, Shafeeqa Johari menghulurkan bantuan termasuk membekalkan van jenazah untuk kegunaan penduduk.

Atu, 31, atau nama sebenar, Sharif Kunal Doli Sharif, berkata persiapan sudah hampir 100 peratus dan hanya menunggu masa untuk van dihantar ke Sabah.

Atu yang juga anggota kumpulan Zero bersama dua abangnya iaitu Sharif dan Syaiful, bersyukur apabila hasrat itu mendapat sokongan dan bantuan ramai terutama daripada segi modal.

“Sekarang ini saya masih buat kerja amal dengan membantu golongan memerlukan. Perancangan terbaharu adalah menyumbang van jenazah dan hampir siap sepenuhnya.

“Projek ini sudah memasuki fasa terakhir sebelum van dihantar ke Sabah, akhir bulan ini.

“Semua persiapan dibuat di Kuala Lumpur. Modalnya ratusan ribu ringgit, tetapi, bukan semua daripada saya seorang.

“Saya beri sebahagian sahaja. Sumbangan lain datang daripada orang ramai termasuk pasukan kami,” katanya kepada BH Online.

Demi memudahkan proses pengurusan jenazah, Atu berkata, van terbabit dilengkapi ruangan khas untuk memandikan jenazah.

“Van itu mempunyai saiz agak besar dilengkapi pelbagai peralatan serta ruang yang membolehkan proses memandikan jenazah di dalamnya.

“Ini kerana sebahagian rumah atau kawasan di Sabah tidak memiliki kemudahan begitu baik.

“Ada rumah yang hanya ada dapur tetapi tiada bilik air.

“Jadi, dengan usaha ini, sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan mereka di sana,” katanya.

 

Atu bersama isterinya, Shafeeqa dan anak-anaknya. - Foto IG Atu Zero
Atu bersama isterinya, Shafeeqa dan anak-anaknya. – Foto IG Atu Zero

 

Sementara itu, Shafeeqa, 37, menjelaskan bantuan pengurusan jenazah kepada golongan memerlukan di Sabah sudah lama dilakukan, namun secara kecil-kecilan.

Malah, bantuan dihulurkan tidak tertumpu kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Sebelum ini, kami lakukan kerja pengurusan jenazah percuma dan kecil-kecilan bersama kru di Sabah.

“Kemudian, idea baharu ini timbul apabila kami lihat bapa mentua Ajak Shiro yang membuat kerja pengurusan jenazah di Kluang, Johor. Kami banyak belajar daripadanya.

“Pengurusan jenazah kami ini tidak tertumpu kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Sesiapa sahaja yang susah dan tidak mampu kami tetap akan bantu secara percuma,” katanya.

Ditanya kelangsungan projek itu, Shafeeqa berkata, mereka akan meneruskannya selain membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk memberi sumbangan.

“Kami akan teruskan usaha ini dengan skala yang lebih besar. Jika ada mana-mana pihak yang berhasrat menyumbang, kami sangat mengalu-alukannya.

“Inisiatif ini juga menyediakan peluang kepada anak muda untuk belajar. Walaupun tidak boleh bayar gaji, kami boleh beri ilmu kepada mereka,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat