Lima selebriti berguru di Korea Selatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Korea Selatan kini dianggap sebagai gergasi Asia yang banyak mengeksport penyanyi ke luar negara hingga terkenal di seluruh dunia.

BTS yang juga akronim kepada Bangtan Sonyeondan dan Blackpink adalah contoh kumpulan pop sensasi terbaik kerana bukan sahaja popular, malah mencetuskan fenomena hingga diiktiraf di pentas antarabangsa.

Kagum inisiatif dilakukan negara berkenaan dalam usaha mempromosi budaya K-Pop mencetuskan idea kepada Primeworks Studios Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan stesen penyiaran, SBS Korea menerbitkan program realiti popular, Master In The House Malaysia.

Bakal bersiaran untuk 10 episod, lima selebriti popular Malaysia terbabit iaitu Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan ahli kumpulan Cassia, Meyrasam yang akan berguru dengan lapan master disegani dari Korea dan Malaysia.

Tanpa mengetahui siapakah master terlebih dahulu, mereka diberikan cabaran menyiapkan tugasan diamanahkan dalam tempoh dua hari satu malam.

Master In The House Malaysia menampilkan dua master Korea dan enam master Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kredibiliti dari kepelbagaian bidang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, selain menyajikan hiburan alternatif kepada penonton, ia mampu memberi manfaat kepada lima selebriti popular itu.

“Program realiti satu pembaharuan kepada TV3 kerana buat julung kali berkolaborasi dengan stesen penyiaran gah, SBS Korea.

“Ini adalah program adaptasi dari program realiti SBS, jadi, penggambaran dijalankan di Korea Selatan untuk memberi peluang kepada lima selebriti ini belajar dengan dua master.

“Kita dapat lihat bagaimana master terpilih dan petugas produksi begitu berdisiplin dalam melaksanakan kerja. Pengalaman itulah yang ingin diberikan kepada lima selebriti berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti, Master In The House Malaysia terbitan TV3 di Petaling Jaya Performing Arts Centre di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin.

 

Lima selebriti popular Malaysia, Hael, Scha, Sharifah Rose, Andi dan Meyrasam berguru dengan lapan master disegani dari Korea dan Malaysia. - Foto Ihsan TV3
Lima selebriti popular Malaysia, Hael, Scha, Sharifah Rose, Andi dan Meyrasam berguru dengan lapan master disegani dari Korea dan Malaysia. – Foto Ihsan TV3

 

Nini berkata, lima artis program realiti itu bertuah kerana berpeluang menimba ilmu dua pakar dari Korea sudi berkongsi pengalaman.

“Dua individu ini ialah koreografer yang berjaya menaikkan nama BTS menerusi gerak tari yang cukup hebat, Son Sung Deuk dan seorang rapper, penyanyi dan penggubah lagu berbakat besar serta anggota kumpulan Got7 iaitu BamBam.

“Sung Deuk dan BamBam cukup terkenal di Korea Selatan. Diakui, agak sukar mendapatkan mereka, hanya selepas tiga bulan ‘mengurat’ barulah memberikan persetujuan.

“Sung Deuk antara individu yang membantu memperkenalkan dan menaikkan nama BTS. Daripada tiada apa-apa sehinggalah nama jadi tersohor di seluruh dunia.

“BamBam adalah artis Korea kelahiran Thailand. Kita mahu Bambam berkongsi pengalaman bagaimana warga Thailand sepertinya mampu membina nama di Korea Selatan.

“Kita dedahkan mereka dengan pengalaman dua individu ini agar apa yang dikongsikan mampu menjadi panduan kepada lima selebriti untuk peningkatan kerjaya seni,” ujarnya.

Mengakui berpuas hati dengan komitmen diberikan peserta program realiti, Nini berkata, pihaknya mempunyai perancangan bekerjasama dengan negara lain termasuk mencari selebriti dalam kalangan ahli sukan untuk menyertai program realiti itu.

“Jangan terkejut jika kita ke Indonesia, United Kingdom, Jepun, Kanada dan sebagainya. Kita tahu ada ramai pakar di luar negara boleh berkongsi ilmu.

“Kita akan mengekalkan lima selebriti ini untuk program akan datang. Bagaimanapun, ia bergantung juga kepada kekosongan jadual mereka.

“Mungkin kita akan buka kepada ahli sukan untuk memberikan lebih variasi kepada program ini,” kata Nini lagi.

 

Nini (kanan) bersama barisan selebriti dan kru penerbitan program realiti, Master In The House Malaysia ketika penggambaran di Korea Selatan. - Foto Ihsan TV3
Nini (kanan) bersama barisan selebriti dan kru penerbitan program realiti, Master In The House Malaysia ketika penggambaran di Korea Selatan. – Foto Ihsan TV3

 

Sementara itu, penerbit program, Ahmad Azahari Mohamad Ali berkata, peluang melihat bagaimana produksi SBS Korea melakukan penggambaran memberikan pengalaman baharu kepadanya.

“Penggambaran berlangsung selama 10 hari di Korea Selatan dan semuanya dilakukan produksi SBS Korea. Tugas saya hanya untuk menjaga artis dan mencipta kandungan.

“Apa yang menarik, saya melihat produksi Korea menggunakan sebanyak 20 kamera ketika penggambaran dan itu juga adalah jumlah minimum.

“Ini berbeza dengan produksi Malaysia yang hanya menggunakan empat kamera sahaja. Apabila kembali ke Malaysia, cabaran terpaksa dihadapi apabila menjalani penggambaran ketika pandemik.

“Memandangkan jumlah yang terbabit dalam produksi sekitar 20 orang, kita terpaksa mencari lokasi mempunyai ruang besar sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Enam barisan master Malaysia yang terpilih membabitkan penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Yusof Haslam; penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza; pemain legenda sukan badminton, Datuk Rashid Sidek; chef selebriti, Sherson Lian serta penerbit dan pengarah animasi, Ejen Ali, Usamah Zaid.

Ditaja oleh CheongKwanJang (CKJ) bersama Lifebuoy dan Samsung Galaxy Z Flip3 5G, program 10 episod itu akan mula bersiaran setiap Sabtu, jam 10 malam di TV3 mulai 15 Januari ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat