KUALA LUMPUR – AirAsia hari ini mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Bo Lingam berkata, i ni selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.
“AirAsia berbangga dalam mewujudkan persekitaran kerja di mana setiap Allstar berasa yakin, selesa dan bangga mewakili syarikat penerbangan di mana sahaja mereka terbang.
“Saya berasa bangga kerana pembaharuan terkini ini memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai yang membuktikan komuniti dan budaya yang kami hubungkan setiap hari.
“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” kata Bo Lingam.
Jelas beliau, kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.
“Pembaharuan terkini ini memperluaskan fleksibiliti tersebut kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya, memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional,” ujarnya.
Pakaian seragam kru kabin ikonik AirAsia yang berwarna merah akan kekal dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional diteruskan mengikut reka bentuk yang sama seperti dipakai oleh kru yang bertugas di laluan Jeddah. Ini memastikan keselesaan, keselamatan dan konsistensi jenama di seluruh rangkaian.



