Pemergian Bung Moktar, sahabat, pemimpin politik, zahir rasa kehilangan

KOTA KINABALU — Negeri Sabah hari ini berkabung atas pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin, tokoh politik berpengaruh yang meninggal dunia awal pagi tadi selepas keadaan kesihatannya dilaporkan merosot sejak beberapa hari lalu.

Allahyarham, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan pemimpin kanan UMNO Sabah, dikenali sebagai seorang pejuang lantang dalam memperjuangkan hak rakyat serta pembangunan negeri.

Jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di mana ribuan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat turut mengambil kesempatan menunaikan solat jenazah sebagai penghormatan terakhir.

Jenazah seterusnya dibawa ke Tanah Perkuburan Likas yang dipenuhi oleh ahli keluarga, sahabat serta pemimpin politik yang hadir mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham.

Suara TV sempat bertemu beberapa pemimpin dan sahabat rapat Allahyarham sejurus selepas pengebumian, dan masing-masing menzahirkan rasa kehilangan mendalam terhadap tokoh yang dianggap sukar diganti.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata pemergian Bung Moktar bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin, tetapi turut meragut seorang sahabat yang dianggap seperti keluarga.

“Saya sangat rapat dengan arwah…bukan sekadar sahabat politik, tetapi seperti keluarga.

“Bila diberitahu tentang pemergiannya, saya tak dapat terima. Sampai sekarang pun masih sukar saya menerima kenyataan,” katanya.

Menurutnya, hubungan mereka di Parlimen begitu akrab sehingga menjadi perhatian ramai.

“Di dalam dewan dan luar dewan Parlimen, kami berdua sahaja selalu bersama. Bila dia tiada… saya kehilangan kawan paling dekat. Kamu semua pun tahu dia dengan saya di parlimen berdua..Dialah tempat saya berkongsi pandangan dan bergurau.

“Sukar mencari pengganti yang mempunyai keberanian dan ketegasan seperti beliau. Dia lah ketua, dia lah guru. Saya redha tapi tidak tahan,” katanya sebak.

ADUN Kunak, Datuk Sri Dr Anil Sandhu, pula menyifatkan pemergian Bung Moktar sebagai kehilangan besar bagi UMNO Sabah dan seluruh pendukung perjuangan parti.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang amat besar kepada UMNO dan rakyat Sabah. Kami mendoakan semoga Allahyarham dikurniakan ganjaran syurga dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Beliau turut menyentuh keadaan kesihatan Allahyarham yang merosot secara mendadak sebelum pemergiannya.

“Beberapa hari lalu ketika kami bersama dalam satu program, saya nampak perubahan besar pada kesihatannya. Bila saya tegur, beliau hanya berkata: ‘Tidak apa, kita terus berjuang… kita lihat bagaimana keadaan nanti.’ Beliau seorang pejuang. He is a fighter, he fight till the end,” katanya.

Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Firdaus Akbar Khan, berkata pemergian Bung Moktar meninggalkan kekosongan besar dalam landskap politik negeri dan negara.

“Kita semua maklum akan jasa serta sumbangan beliau yang merentasi pelbagai bidang pembangunan negeri dan negara. Ketokohan dan keberanian beliau wajar dicontohi, terutama oleh generasi muda,” katanya.

Tambahnya, mereka yang mengenali Allahyarham secara dekat pasti memahami nilai murni, kebaikan dan sisi kepimpinan Bung Moktar.

“Sesungguhnya, pemergian beliau satu kehilangan yang sangat besar buat kita semua,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Kawang, Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar, turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan pemimpin berkarisma itu.

“Arwah adalah pemimpin berwibawa, berbakti dan sentiasa mendahulukan rakyat. Kepergiannya amat dirasai oleh masyarakat Sabah yang masih mengharapkan bimbingan serta suaranya,” katanya.

Beliau berkata generasi muda turut akan merasai kehilangan tokoh yang sering tampil membantu serta membela rakyat tanpa mengira masa.

“Kita kehilangan seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas memperjuangkan negeri ini. Pemergian beliau amat mendukacitakan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat