KUALA LUMPUR — Seramai 23,957 murid yang terjejas akibat banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 5 November lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, terdapat sebanyak 117 buah sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS iaitu 93 buah sekolah rendah dan 24 buah sekolah menengah.
“Kelantan mencatatkan seramai 5,305 orang murid, Terengganu pula 1,090 orang murid, Kedah seramai 767 orang murid, Melaka seramai 30 orang murid, Johor seramai 18 orang murid dan Perak seramai 2 orang murid yang masih berada di PPS hari ini.
“3 negeri tertinggi yang mempunyai sekolah yang dijadikan PPS adalah Kelantan 240 buah sekolah, Terengganu 137 buah sekolah dan Kedah 51 buah sekolah.
“Bermula 5 November 2024, sebanyak 470 buah institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai PPS melibatkan 392 buah sekolah rendah, 77 buah sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-KULIM BANDAR BAHARU) yang meminta penjelasan berapakah bilangan pelajar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dan jumlah sekolah yang digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat ini.
Selain itu beliau berkata KPM juga menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) di PPS.
“SST terdiri daripada sukarelawan Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi banjir”
“AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS”, katanya.