PAS tiada masalah dengan kepimpinan Hadi, lebih baik Kit Siang nasihatkan Umno – Takiyuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Membalas saranan Lim Kit Siang supaya menggantikan kepimpinan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dinilai sebagai ‘tidak perlu’.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Serin Takiyuddin Hassan menegaskan, PAS bukan sahaja tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Hadi, malah kedudukannya sebagai presiden parti tidak pernah dicabar, kecuali sekali, namun mendapat sokongan penuh daripada ahli serta perwakilan di setiap kali Muktamar Tahunan PAS.

Beliau mengingatkan Kit Siang bahawa pencapaian PAS bawah kepimpinan Hadi adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya.

“PAS kini merupakan parti tunggal terbesar dengan kerusi terbanyak di Parlimen, menguasai pentadbiran empat negeri dan mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri di Semenanjung.

“Bahkan Kit Siang bukanlah orang paling layak untuk bercakap tentang kesederhanaan (moderation) dan sikap terbuka, baik kerana sejarah lampaunya sebagai seorang ahli politik, mahupun kedudukan semasanya sebagai penasihat sebuah parti yang masih sangat tebal dengan retorik perkauman dan cauvinisme,” bidas Takiyuddin.

Tambah beliau, PAS percaya, jika Lim berasa berhak untuk menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepimpinan parti-parti selain DAP, maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya dalam kerajaan, khasnya Umno yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam.

“Keadaan ini sepatutnya lebih membimbangkan Kit Siang, terutamanya apabila kepimpinan Umno turut terpalit dengan kes-kes jenayah besar yang pernah ditentang oleh DAP sendiri tidak lama dulu.

“Sudah pastilah DAP tidak boleh berlepas tangan, terus berdiam diri atau mendakwa tidak terlibat dengan perkembangan yang berlaku berkait keadaan dan persengkongkolan itu.

“Sebagai ahli politik veteran, tentulah Kit Siang tidak terlepas pandang bahawa dalam PRK Kemaman, BN-PH kehilangan kira-kira 20,000 undi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lepas. Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU15, baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang,” ulas Takiyuddin lagi.

Justeru beliau berkata, lebih bermanfaat sekiranya Kit Siang memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri, serta isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami oleh Putrajaya, bukannya terus bermain politik picisan, hipokrit, hyperbole dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan masyarakat serta negara yang lebih baik, jujur dan demokratik.

Mengulas lanjut, PAS mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas ucapan tahniah Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang susulan kejayaan besar calon PAS-Perikatan Nasional (PN) Samsuri mengalahkan calon Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini.

Takiyuddin berkata, sikap budiman sedemikian amat dialu-alukan dan boleh menyumbang kepada pemupukan budaya politik lebih matang dan sejahtera yang positif untuk negara. Ia sememangnya menjadi pegangan PAS sejak sekian lama.

“Namun begitu, persoalan yang cuba dibangkitkan oleh beliau terutamanya mengenai kedudukan Hadi sebagai Presiden PAS dan kemungkinan Dr. Samsuri menggantikannya bagi membolehkan PAS “menjadi sebuah parti yang bersifat lebih moderat dan terbuka … dan menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah dan berita palsu” adalah tersasar, malah tidak mempunyai merit sama sekali,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat