Ada pemimpin PN cuba pujuk Ahli Parlimen UMNO – Abdul Halim

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Seorang pemimpin UMNO Johor mendedahkan terdapat pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) mahu berunding dengan segelintir Ahli Parlimen daripada UMNO untuk bersama mereka.

Walau bagaimanapun, Setiausaha UMNO Negeri Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kesemua rundingan itu ditolak mentah-mentah kerana Ahli Parlimen daripada UMNO lebih bermaruah dan berkredibiliti.

Katanya, Ahli Parlimen daripada UMNO adalah lebih baik berbanding dengan beberapa pemimpin PN terutamanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang pernah mengkhianati parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Sebenarnya, PN kini makin cemas. Mereka sedar dan tahu, akan ada lagi Ahli Parlimen daripada PN akan beralih sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Madani disebabkan kegagalan PN sendiri menjaga kepentingan pemimpin dan rakyat yang memilih mereka pada PRU15 lalu.

“Jadi, apabila tahu BN tewas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, saya berlapang dada kerana PN hanya menang satu kerusi tapi sudah hilang sokongan lima kerusi lain. Jadi, langkah ke Putrajaya mereka ibarat angan-angan Mat Jenin sajalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, kemenangan PN pada PRK Kemaman, Sabtu lalu menyebabkan pemimpin PN terus menerus memainkan isu pertukaran kerajaan sedangkan impian itu cukup jauh panggang dari api.

Jelasnya, ketika berseronok menang dan menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kemaman, mereka sedar kekuatan di Parlimen semakin goyah selepas seorang demi seorang pemimpin PN menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Tindakan mereka itu saya percaya kerana bosan dengan sikap sombong dan ego kepimpinan PN untuk berunding dengan kerajaan berkaitan peruntukan untuk Ahli Parlimen daripada PN. Pembangkang lebih rela menunggang isu peruntukan ini daripada memikirkan nasib rakyat di kawasan Parlimen masing-masing.

“Keputusan lima Ahli Parlimen daripada PN sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah satu tindakan berjiwa besar. Mereka sanggup ketepikan ego, perbezaan parti serta ideologi demi memastikan peruntukan untuk Parlimen dan rakyat yang mengundi mereka terjamin.

“Daripada maklumat yang saya dengar, tindakan pimpinan PN enggan berunding dengan kerajaan tentang peruntukan itu sebab mereka sibuk nak ambil alih Putrajaya ikut pintu belakang,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat