Bung Moktar jamin kemelut di Perak tidak akan merebak ke Sabah

- Advertisement -

CYBERJAYA: Apa yang berlaku di Perak tidak akan terjadi di Sabah, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, UMNO Sabah yakin dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan ikhlas menyokongnya berikutan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan negeri.

Bung Moktar juga menegaskan UMNO Sabah dan GRS ketika ini saling memahami dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Apa yang berlaku di Perak itu ialah sentimen politik di sana. Di Sabah kita ada sentimen kita sendiri, di sini lain, kita sentimental.

“Kita di Sabah memahami antara satu sama lain dan sedar bahawa kita tidak boleh berpecah-belah,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi pihak tertentu mengatakan apa yang berlaku di Perak mungkin turut berlaku di Sabah.

Bung Moktar berkata, UMNO Sabah tidak akan mengkhianati rakan parti dalam GRS dan turut berharap parti lain dalam gabungan itu juga tidak mengkhianati UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Kita yakin dengan kepemimpinan Ketua Menteri dan UMNO memang ikhlas menyokong serta tidak akan mengkhianati rakan parti lain.

“Isu di Perak tidak akan menjejaskan kedudukan kita di Sabah. Kita di sini masih kukuh,” katanya.

Spekulasi yang mengatakan kemelut politik Perak boleh berpindah ke Sabah adalah berdasarkan andaian UMNO Sabah sepatutnya mendapat jawatan Ketua Menteri selepas GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Ini kerana UMNO memenangi lebih banyak kerusi berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti lain dalam GRS.

author avatar
Muhammad Arafat
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat