KUALA LUMPUR – Umno Johor menganggap kenyataan Amanah Johor yang menyatakan hasrat mahu bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Darul Takzim itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang seolah-olah isytihar perang.
Setiausaha Umno Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman mendakwa, kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah negeri itu, Dzulkefly Ahmad diibaratkan seolah-olah jolok sarang tebuan dan isytihar perang dengan Umno-BN.
“Nampaknya selera dan nafsu Amanah Johor nakkan jawatan dalam kerajaan negeri tak pernah padam, malah semakin menjadi-jadi. Sepatutnya mereka mereka fokus untuk membela dan membantu rakyat seperti BN dan rakan-rakan lain dalam komponen PH.
“Kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Dzulkefly Ahmad mahu bertanding 20 kerusi DUN Johor dalam PRN akan datang, sekalipun kalau terpaksa bertembung dengan Umno menggambarkan mereka tak kisah nak langgar sesiapa pun asalkan dapat apa yang diingini.
“Alasannya mudah saja. Sebab BN Johor masih tak mahu bentuk Kerajaan Perpaduan walaupun selepas menang PRK DUN Mahkota. Saya lihat kenyataan ni macam nak jolok sarang tebuan dan isytihar perang dengan Umno-BN. Padahal Umno sudah duduk diam selepas Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpesan supaya kita tak usik rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tapi nampaknya nasihat Zahid ni tak laku pada Amanah Johor dan mereka sengaja nak cari pasal lagi. Saya lihat Amanah ni nampak lebih sibuk kejar jawatan daripada nak bantu rakyat atau setia pada prinsip kerjasama,” kata Abdul Halim dalam kenyataan di Facebooknya pada Selasa.
Ketua Umno Bahagian Tebrau itu sebaliknya menegaskan, Umno tidak ada masalah untuk berperang dan bertarung dengan Amanah pada PRN atau PRU16 nanti tetapi ini bukan masanya untuk berpolitik
“Amanah Johor ni sebenarnya macam tak sedar diuntung. Dulu, PRU15, Amanah hanya menang 1 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN saja di negeri ini. Itu pun bukan sebab Amanah ni kuat tapi lebih kepada ihsan DAP.
“Jadi saya nak pesan kepada Amanah Johor jangan sombong kerana mereka hanya parti menempel simpati DAP saja dalam PH, tapi sekarang Amanah nak berlagak macam juara.
“Sibuk mahukan jawatan dan kuasa dalam kerajaan negeri tapi khidmat kepada rakyat habuk pun tak ada. Harapkan ada seorang Ahli Parlimen di Pulai dan seorang Adun di Simpang Jeram tapi macam tak ada fungsi,” tempelak beliau yang juga Ahli Dewan Negara.