KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai terjebak dengan kesilapan membina kapitalis kroni terkait tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memilih U Mobile sebagai pelaksana Rangkaian 5G Kedua di Malaysia.
Wakil rakyat PKR itu malah mendakwa Anwar seolah-olah mengulang kesilapan besar yang pernah berlaku sewaktu pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yakni membina golongan kapitalis kroni.
“Satu kesilapan besar yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dari tahun 1982 hingga 2004 dari aspek pembangunan ekonomi nasional ialah PM Dr Mahathir Mohamad terjebak dalam ketaksuban membina golongan kapitalis kroni.
“Nampaknya Pentadbiran kerajaan PM kesepuluh Anwar Ibrahim yang baru berumur 2 tahun sejak 24 November 2022 mulai terjebak juga dengan kesilapan membina kapitalis kroni.
“Bezanya Dr Mahathir Mohamad membina kapitalis-kapitalis kroni dari kalangan kaum Melayu, Cina dan India dari kalangan rakyat biasa yang merupakan usahawan-usahawan baru muncul yang berpotensi dan rapat dengannya.
“Manakala dibawah PM Anwar Ibrahim mulai wujud sistem hibrid dalam pembinaan kapitalis-kapitalis kroni,” dakwa Hassan dalam kenyataan medianya pada Selasa.
Dakwa Hassan lagi, imej Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang menjadikan perjuangan menegakkan tatakelola, urustadbir kerajaan yang baik, telus dan amanah mulai tercalar dan dipersoalkan angkara munculnya kembali amalan membina kapitalis kroni tetapi kali ini datangnya dari golongan mahakaya.
Menurut beliau, di bawah pentadbiran Anwar terdapat tiga jenis kapitalis kroni.
“Golongan pertama ialah kapitalis-kapitalis kroni yang terbina sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir yang semakin matang dan berpengalaman kini terus wujud mengelilingi dan menumpahkan kesetiaan dan sokongan kepada Perdana Menteri yang baru.Mereka ini pemain-pemain besar dalam industri tenaga elektrik, industri digital dan industri pengangkutan seperti pelabuhan dan penerbangan.
“Golongan kedua kapitalis kroni di zaman Kerajaan Madani ini belum begitu meluas, belum begitu berani kerana gerak tindaknya sering diperhati. Kapitalis kroni jenis kedua ini yang rapat dengan Perdana Menteri adalah pemain kecil, masih amatur, yang baru muncul yang tidak ada track record sebagai usahawan berjaya tetapi mendapat peluang dan ehsan dari kapitalis kroni golongan pertama yang sedang membina jambatan hubungan rapat dengan Perdana Menteri kesepuluh.
“Tetapi golongan ketiga kapitalis kroni di zaman PM Anwar Ibrahim agak luar biasa.Golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol.Golongan ini agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama 3R. Wujudnya golongan kayangan ini yang melakukan fungsi perniagaan yang dilarang oleh undang-undang telah terdedah sekarang ini apabila Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah memberikan lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada sebuah syarikat telsco yang relatifnya pendatang baru tetapi 22.31 peratus saham ekuiti syarikat tersebut dikuasai oleh institusi yang dilarang oleh Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial,” dakwa Hassan dalam kenyataan itu lagi.
Pada 2 Nov lalu, MCMC memilih U Mobile sebagai pelaksana Rangkaian 5G Kedua di Malaysia, ia selaras dengan usaha untuk memaksimumkan potensi teknologi 5G untuk manfaat rakyat, industri dan negara.
Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pemegang saham terbesar U Mobile adalah Straits Mobile Investments Pte. Ltd. (syarikat ini ada kaitan dengan Temasek Holdings dari Singapura).
Entiti ini memegang sebanyak 48.26 peratus kepentingan dalam U Mobile Sdn. Bhd. Lain-lain pemegang saham yang mungkin anda ingin tahu adalah seperti Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim 22.31 peratus; Magnum Berhad 7.84 peratus; Singer (Malaysia) Sdn Bhd 6.10 peratus; U Telemedia Sdn Bhd 5.59 peratus dan Tan Sri Dato Koon Poh Keong 2.35 peratus.
Media melaporkan, sejurus pengumuman MCMC tentang rangkaian 5G kedua Malaysia, U Mobile terus mengumumkan rancangan mereka untuk mengurangkan pemilikan luar kepada 20 peratus, mereka menjemput lebih ramai rakyat Malaysia untuk melabur dalam syarikat mereka.