CYBERJAYA — Beberapa sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mendakwa mereka dipukul, ditarik rambut dan diberikan “makanan haiwan” ketika berada dalam tahanan tentera Israel.
Peguam yang mewakili kumpulan berkenaan, Fahmi Abd Moin, berkata maklumat awal itu diperoleh menerusi perbualan bersama para sukarelawan di Istanbul, Turki, selepas mereka dibebaskan.
“Mereka menyatakan diberi layanan buruk — rambut ditarik, dipukul di muka, dan diberikan makanan yang kalau diikutkan maksudnya, makanan kepada binatang,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah Fahmi, para sukarelawan turut dipaksa meminum air paip dari tandas penjara sepanjang tempoh tahanan di Penjara Ketziot, Gurun Negev.
Beliau berkata, pasukan peguam yang turut disertai Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar, dan Luqman Mazlan akan mengumpul keterangan lengkap sebaik mereka tiba di Kuala Lumpur.
“Kemungkinan besar apabila pulang ke Malaysia nanti, kita akan jumpa mereka semua dan mengambil keterangan lanjut mengenai keadaan yang berlaku sepanjang penahanan itu.
“Adakah mereka diseksa dan apakah bentuk layanan pihak rejim Zionis. Sekiranya ada, apa-apa tindakan diambil pihak rejim itu, kita akan pertimbangkan untuk menghantar laporan lengkap kepada UNHRC” ujarnya.
Kesemua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pada Khamis lalu selepas kapal mereka dicegat oleh tentera Israel, sebelum dibebaskan pada Sabtu dan diterbangkan ke Turki.



