Boleh jadi gila…

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ramai kehilangan kerja, terputus bekalan makanan, malah lebih teruk, diusir daripada rumah sewa gara-gara tidak mampu membayar tunggakan akibat pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia.

Bukan hanya orang biasa, malah golongan selebriti juga terkesan dengan COVID-19 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa selama tiga bulan.

Berkongsi pengalaman, pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin meluahkan isi hatinya sepanjang menjalani tempoh PKP. Awalnya, diterima dengan hati yang seronok, apatah lagi, jadual lakonannya terlalu padat hingga 2021 menyebabkannya tiada masa berehat.

“Saya sangat menjaga privasi. Sejujurnya, saya minta maaf jika mengatakan sangat menantikan momen ini kerana mempunyai masa untuk diri sendiri. Sebelum ini, saya terlalu sibuk berlakon hingga tidak mempunyai masa berehat, apatah lagi jadual penuh hingga tahun depan.

“Awalnya, saya tak terasa bosan biarpun belum pernah tak bekerja hingga tiga bulan. Bagaimanapun, saya terasa seperti nak gila selepas beberapa minggu duduk di rumah tanpa buat apa-apa.

“Saya jadi malas dan berat badan mula bertambah selepas lama berehat. Selama ini, saya sibuk bekerja dan bertemu ramai orang. Diakui, saya terlalu letih bekerja dan ada masanya menimbulkan tekanan, tetapi tekanan hilang apabila dapat berehat selama beberapa hari.

“Tetapi, situasi ini pula berbeza, terlalu lama sangat duduk rumah membuatkan fikiran menjadi tepu dan perasaan mahu keluar bekerja semakin membuak-buak,” katanya kepada BH Online.

 

Zul Ariffin bersama penerbit filem Juang, Datuk Rosyam Nor dan enam pengarah filem bertaraf mega yang mengangkat kisah pengorbanan petugas barisan hadapan. - Foto IG Zul Ariffin
Zul Ariffin bersama penerbit filem Juang, Datuk Rosyam Nor dan enam pengarah filem bertaraf mega yang mengangkat kisah pengorbanan petugas barisan hadapan. – Foto IG Zul Ariffin

 

Anak kelahiran Taiping, Perak itu berkata, dia tak pernah bosan walaupun belum berkahwin kerana tinggal bersama kakak.

“Tiada istilah sunyi, malah saya bersyukur masih belum berkahwin. Lihatlah apa yang berlaku kepada kebanyakan pasangan yang sudah berumah tangga apabila terlalu lama terkurung bersama?

“Banyak pula kes perceraian yang berlaku. Situasi ini membuatkan saya lega sebab tidak berkahwin lagi,” katanya yang turut terbabit dengan penggambaran filem mega berjudul Juang yang mengangkat kisah petugas barisan hadapan.

Zul berkata, dia bersyukur tidak berdepan masalah kewangan biarpun tiga bulan tiada kerja.

“Ya betul, dunia lakonan ada turun naik, jadi memang saya sentiasa beringat dan membuat simpanan sejak dahulu. Sebenarnya, tanpa pandemik COVID-19 sekali pun golongan seni sudah merasakan keperitan seperti apa yang dilalui kebanyakan artis.

“Kerjaya anak seni tidak menentu, ada antara rakan saya sudah tiada ‘job’ sebelum PKP. Nasib tetap sama, jadi mereka sudah lali dan tidak kisah sama ada PKP atau tidak.

“Dalam dunia ini sebenarnya tiada apapun yang pasti. Anak seni seperti kami sudah biasa dengan situasi tawaran kerja yang tidak menentu. Tetapi, lihatlah mereka yang memiliki kerjaya hebat seperti juruterbang dan pramugari.

“Siapa sangka kerjaya stabil boleh jadi begini apabila ramai kehilangan pekerjaan. Jadi, tiada apa yang pasti dalam dunia ini. Saya juga bersyukur memiliki perniagaan, jadi sedikit sebanyak perniagaan menyelamatkan saya,” katanya yang memiliki beberapa rangkaian perniagaan termasuk restoran menjual ramen di sebuah pusat membeli-belah.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat