Malaysia sedia hantar pasukan pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Malaysia bersedia menghantar pasukan pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja sekiranya diminta secara rasmi oleh kedua-dua negara berkenaan.

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri situasi di sempadan itu ketika ini masih terkawal dan dipantau dengan rapi melalui satelit serta koordinasi Atase Pertahanan Malaysia bersama negara-negara ASEAN.

“Setakat ini kita telah nyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pemantau. Dalam perbincangan dengan Ketua-Ketua ASEAN, semua sependapat bahawa langkah ini hanya akan diambil jika diminta oleh kedua-dua negara.

“Keadaan di sana masih terkawal, dan satelit dapat memantau secara menyeluruh. Atase Pertahanan kita juga sedang menyelaras pemantauan bersama Atase Pertahanan Thailand. Kita tunggu keputusan rasmi pada 7 Ogos ini,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai langkah Malaysia berikutan ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja.

Menurutnya, pegawai kanan ketenteraan dari Thailand dan Kemboja kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang diselaraskan oleh Malaysia.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang telah memainkan peranan penting dalam menyelaras rundingan ini,” tambahnya.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia komited membantu memastikan keamanan dan kestabilan serantau, sambil berharap mesyuarat GBC yang berakhir pada 7 Ogos ini dapat merumuskan mekanisme terbaik untuk memelihara keselamatan di kawasan terbabit.

Terdahulu, pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat dalam mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat